Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada kenaikan tarif elektrik hingga Dis tahun ini
Diterbitkan:  Jun 29, 2024 1:40 PM
Dikemaskini: 5:40 AM

Kerajaan bersetuju supaya tiada kenaikan tarif elektrik kepada semua pengguna di Semenanjung Malaysia sepanjang tahun ini.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) berkata, keputusan itu dibuat untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus terjamin dengan memastikan pengguna domestik terus dilindungi melalui pelaksanaan subsidi elektrik secara bersasar.

Selain itu, kata Petra, kerajaan turut mengumumkan bahawa pengguna komersial dan industri akan menikmati penurunan kadar surcaj ketidakseimbangan pelepasan kos bahan api (ICPT) sebanyak 1 sen bagi setiap kilowatt sejam (kWj).

Menurut Petra, pengurangan itu akan diberikan bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Dis ini.

“Kerajaan berharap agar penurunan kadar surcaj ICPT kepada kategori ini dapat terus mengekalkan kestabilan harga barangan di pasaran di samping menggalakkan pelaburan di Malaysia, seterusnya meningkatkan peluang pekerjaan kepada rakyat dan merancakkan ekonomi negara,” kata kementerian itu dalam kenyataan.

Di samping itu, kerajaan juga bersetuju menurunkan surcaj bagi kategori lampu jalan (tarif G dan G1) seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) sebanyak 1 sen/kWj bagi tempoh sama.

"Langkah itu bagi membolehkan PBT menyediakan perkhidmatan pencahayaan menyeluruh di kawasan awam seperti lampu jalan, taman perumahan dan kawasan rekreasi.

"Secara keseluruhannya, jumlah subsidi elektrik secara bersasar bagi tempoh Julai hingga Dis 2024 yang akan dibiayai oleh kerajaan pada kali ini adalah sebanyak RM2.19 bilion,” katanya.

Petra berkata, kerajaan percaya pelaksanaan subsidi bersasar merupakan pendekatan terbaik pada masa ini bagi mengurangkan komitmen subsidi kerajaan dengan peruntukan berkenaan akan disalurkan dalam pelbagai bentuk lain kepada rakyat.

"Ia juga membolehkan kerajaan terus menambah baik infrastruktur awam, penjagaan kesihatan dan menyokong sektor pendidikan negara," katanya.

Sementara itu, Petra berkata, kerajaan komited memastikan kebajikan golongan berpendapatan rendah terpelihara melalui Program Rebat Elektrik RM40 untuk pengguna elektrik dalam kategori miskin tegar yang berdaftar dan disahkan dalam Sistem e-Kasih di seluruh negara.

Langah itu, kata kementerian terbabit, membabitkan peruntukan bernilai RM55 juta untuk tahun ini.

Katanya, pengguna boleh membuat semakan status kelayakan masing-masing di laman sesawang https://semakanrebat.petra.gov.my/apps/public/index.php atau hadir ke kedai utiliti berhampiran.

"Walaupun tiada kenaikan tarif elektrik di Semenanjung Malaysia bagi tempoh Julai hingga Dis 2024, pengguna disaran supaya sentiasa menggunakan tenaga elektrik secara berhemah dan mengamalkan amalan cekap tenaga.

"Melalui program SAVE 4.0, pengguna boleh menerima e-rebat sehingga RM400 bagi pembelian peti sejuk dan penyaman udara cekap tenaga mendapat penarafan 4 atau 5 bintang oleh Suruhanjaya Tenaga," katanya.

Dalam pada itu, Petra menggalakkan pengguna menyertai inisiatif pemasangan panel solar fotovoltaik (PV) di kediaman masing-masing, menerusi program Net Energy Metering (NEM).

"Melalui program baru Solar for Rakyat Incentive Scheme (SolaRIS), pengguna baru NEM Rakyat yang mengemukakan permohonan kepada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Seda) pada dan selepas 1 April lalu akan menerima rebat RM1,000/kwAC sehingga maksimum RM4,000," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS