Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Imigresen teliti dakwaan pengarah syarikat dipukul ketika operasi
Diterbitkan:  Jun 29, 2024 9:27 AM
Dikemaskini: 1:27 AM

Jabatan Imigresen Malaysia akan memberi kerjasama sepenuhnya dengan telus dan adil kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), berhubung insiden seorang pengarah syarikat pekerja asing yang mendakwa dipukul pegawai Imigresen, semasa ditahan dalam operasi penguatkuasaan jabatan itu baru-baru ini.

Ketua Pengarah Imigresen Ruslin Jusoh dalam kenyataan hari ini memaklumkan, dalam masa sama jabatan itu sedang menunggu laporan lengkap daripada Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan seterusnya akan meneliti dakwaan tersebut.

“Sekiranya didapati berlakunya tindakan pelanggaran SOP (prosedur operasi standard) atau penyalahgunaan kuasa oleh pegawai terlibat, tindakan dan hukuman tegas akan diambil.

“Imigresen memandang serius kes penyalahgunaan kuasa melibatkan pegawai dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawainya yang melakukan pelanggaran SOP, sehingga mencemarkan nama baik dan imej jabatan,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan jabatan tersebut, susulan laporan Malaysiakini yang memetik seorang pengarah syarikat pekerja asing menafikan terlibat sebagai dalang sindiket pengemis dan mendakwa dipukul oleh pegawai Imigresen semasa ditahan dalam operasi penguatkuasaan pada 25 Jun.

Pengarah syarikat berkenaan Mohd Isa Karim sebelum ini mendakwa dia dipukul dengan matanya ditutup ketika operasi pegawai imigresen di kawasan itu.

Dia juga menegaskan bahawa dia berada di kawasan itu ketika itu kerana melawat pejabat kawannya di situ.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS