Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin: Ikut PRN lepas, Bersatu akan bertanding di Nenggiri

PRK SG BAKAP | Bersatu bersedia untuk meletakkan calon mewakili PN dalam PRK DUN Nenggiri yang bakal diadakan, kata presidennya Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata ia berdasarkan keputusan yang dibuat dalam pilihan raya negeri (PRN) lepas.

“Ya kalau itu keputusan yang buat dulu, kerusi itu kerusi Bersatu.

“Bila mana SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) sudah buat keputusan untuk adakan pilihan raya, Insya-Allah kita akan mulakan jentera untuk gerak kerja peringkat awal.

"Kerja-kerja lain kita akan susuli (seperti) kenal pasti calon yang paling sesuai daripada Bersatu dan menggerakkan gerak kerja yang tersusun di peringkat bawah,” katanya kepada media selepas program kempen di Kampung Kepala Gajah di Simpang Ampat, hari ini.

Terdahulu SPR menetapkan 3 Ogos depan bagi penamaan calon PRK DUN Nenggiri dan 17 Ogos sebagai hari mengundi.

Ini selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan injuksi bekas Adun kawasan itu, Mohd Azizi Abu Naim bagi menangguhkan pengumuman tarikh PRK di situ.

Azizi memohon perintah sekatan sementara untuk mengekalkan status quo antara parti sementara menunggu keputusan tuntutan mahkamahnya mencabar kesahihan penamatan keahlian partinya dalam Bersatu, yang menyebabkan kerusi DUN Nenggiri di Kelantan kosong.

Azizi, yang juga ahli parlimen Gua Musang, antara tujuh wakil rakyat Bersatu yang dilucutkan keahlian mereka kerana menyuarakan sokongan kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Selain Azizi, turut dipecat adalah ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

Muhyiddin yang juga pengerusi PN menegaskan walaupun kerusi itu terletak Kelantan yang merupakan kubu kuatnya, PRK terbabit tidak boleh diambil mudah.

"Sebab ini adalah PRK dan pihak lain pun akan turun bekerja memenangkan calon mereka. Bagi kita, kita sudah bersedia,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS