Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lepas demo, Foodpanda janji kaji semula sistem
Diterbitkan:  Jun 28, 2024 7:40 PM
Dikemaskini: 11:41 AM

Foodpanda berkata akan mengkaji semula sistemnya bagi memastikan kebajikan rakan penghantar terjamin dan mewujudkan ekosistem yang adil dan kompetitif.

Komitmen itu diberikan setelah sekumpulan penghantarnya berhimpun di ibu pejabat syarikat itu di Kuala Lumpur semalam bagi membantah bayaran yang disifatkan terlalu rendah.

Foodpanda berkata mereka memandang serius rungutan penghantar mereka.

Justeru, kata syarikat itu, struktur bayaran baru akan ditentukan berdasarkan pelbagai faktor seperti jarak penghantaran, permintaan pesanan serta mengambil kira faktor tambahan untuk memberi motivasi dan ganjaran kepada rakan penghantar mereka.

 “Struktur bayaran juga disemak secara berkala untuk memastikan ia tetap menarik bagi rakan penghantar kami.

 “Rakan penghantar boleh melihat lokasi pengambilan dan penghantaran serta bayaran (termasuk bayaran lonjakan) untuk setiap pesanan sebelum menerimanya,” menurut Foodpanda dalam kenyataan.

Penghantar makanan Foodpanda menyuarakan rasa tidak puas hati apabila zon penghantaran mereka diluaskan.

Sementara itu, Foodpanda berkata mereka menggunakan Google Maps sebagai sistem pemetaan sejak Januari tahun ini.

“Pertukaran ini membolehkan pengiraan jarak yang lebih tepat dan oleh itu pengiraan bayaran yang lebih tepat,” katanya.

Foodpanda juga memberi jaminan rakan penghantar mereka akan terus menikmati fleksibiliti sebagai pekerja gig.

Foodpanda menjelaskan bahawa mereka sedang perbincangan dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk menyumbang bersama kepada akaun sehingga 10,000 rakan penghantar yang layak.

“Kami turut membantu mengurangkan kos kerja gig dengan menawarkan perlindungan insurans dan pelan mudah alih yang disubsidi,” jelas syarikat berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS