Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengarah syarikat nafi dalang sindiket pengemis, dakwa dipukul pegawai JIM
1

Seorang pengarah syarikat agensi pekerja asing menafikan terlibat dalam sindiket menggunakan warga asing dan kanak-kanak untuk menjalankan aktiviti mengemis di sekitar ibu negara.

Malah, warganegara Malaysia yang berusia 41 itu turut membuat laporan polis selepas mendakwa dicederakan oleh pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) semasa ditahan dalam operasi oleh jabatan itu di Kuala Lumpur pada 25 Jun lalu.

Bercakap dengan Malaysiakini, Mohd Isa Karim berkata bahawa dia sentiasa melawat kawan-kawannya di sebuah bangunan di Jalan Azlan Shah, Kuala Lumpur.

"Saya selalu ke sana untuk berjumpa kawan-kawan. Kami biasanya pada waktu malam duduk berbincang di pejabat kawan saya yang berada di tingkat bawah di bangunan empat tingkat itu. Pada hari kejadian, saya mendapati pihak JIM membuat operasi dan kami semua digari sebaik mereka tiba di situ.

"Saya merupakan satu-satunya warga Malaysia yang berada di situ. Maka, seorang pegawai JIM minta saya ikut dia ke tingkat atas kerana saya fasih dalam bahasa Melayu dan bahasa Urdu. Pegawai itu memberitahu saya bahawa penghuni di tingkat atas itu adalah kebanyakannya warga asing dan kanak-kanak yang digunakan mengemis di Kuala Lumpur.

"Setelah tamat operasi di tingkat atas, saya dibawa semula ke tingkat bawah (pejabat kawan) dan mata saya ditutup dan mula dipukul oleh pegawai-pegawai imigresen di sana. Mereka memaksa saya untuk mengaku saya salah seorang sindiket menggunakan kanak-kanak mengemis," katanya.

Mengulas lanjut, dia berkata bahawa dia tidak mengaku tetapi terus dipukul dan diugut. Akibatnya, terdapat luka di muka, telinga dan bahagian belakang badan.

"Kali ini mereka dakwa saya adalah pemilik 'cop airport' (cop pengesahan oleh JIM untuk keluar masuk warga asing di lapangan terbang) yang kononnya dijumpa di premis tersebut.

"Saya tidak ada apa-apa kepentingan dengan bangunan itu dan hanya melawat kawan saya yang mempunyai sebuah pejabat di tingkat bawah. Namun, saya dipukul dan diugut atas kesalahan yang tidak pernah saya terlibat.

"Kekerasan dan ugutan pihak JIM adalah satu tindakan tidak boleh diterima dan dibuat dengan sengaja untuk menjatuhkan reputasi saya sebagai pengarah syarikat agensi pekerja asing.

"Video dan gambar yang diambil semasa operasi itu tular di media sosial yang jelas menjejaskan perniagaan saya," katanya.

Katanya, dia telah membuat laporan polis di IPD Dang Wangi malam tadi selepas menerima rawatan di Klinik Kesihatan Kuala Lumpur.

"Setelah saya ditahan bersama-sama warga asing yang lain, kami di bawah ke pejabat JIM Kuala Lumpur sebelum saya seorang sahaja di bawah ke IPD Dang Wangi dan dibebaskan dengan jamin," katanya.

Tambahnya, dia sedang berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap JIM Kuala Lumpur.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi pejabat JIM Putrajaya dan Kuala Lumpur untuk mendapatkan komen.

Untuk rekod, pada 26 Jun JIM Kuala Lumpur dilaporkan melumpuhkan sindiket menggunakan warga asing dan kanak-kanak untuk menjalankan aktiviti mengemis di sekitar ibu negara dalam serbuan di Jalan Sultan Azlan Shah.

Lebih menyedihkan bayi dan kanak-kanak berusia antara 10 bulan hingga enam tahun diberikan ubat dipercayai untuk ‘ditidurkan’ sebelum dibawa oleh warga asing dewasa bagi menjalankan aktiviti mengemis sekitar Jalan Chow Kit, Jalan Masjid India dan Jalan Sentul pada waktu pagi.

Difahamkan bangunan rumah kedai itu turut dijadikan petempatan untuk warga asing disyaki dari Pakistan, Indonesia dan India dengan kadar sewaan RM800 sebulan yang didiami kira-kira lapan individu dalam satu bilik kecil termasuk beberapa kanak-kanak.

Serbuan itu turut berjaya membongkar sindiket pemalsuan dokumen pasport yang berselindung di sebalik perniagaan kedai dobi, alat telekomunikasi dan kedai gunting rambut.

Pengarah JIM Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata serbuan yang berakhir kira-kira 12 tengah malam tadi dijalankan berdasarkan hasil risikan selama enam bulan di lokasi itu.

Dia berkata serbuan menahan 79 warga asing dan seorang lelaki warga tempatan dengan semuanya berusia antara 10 bulan hingga 59 tahun.

Wan Mohammed Saupee berkata kesemua yang ditahan dibawa ke Depoh Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Akta Pasport 1966 (Akta 150).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS