PARLIMEN | Wakil rakyat parti pemerintah dan pembangkang menyoal kelewatan kerajaan melantik pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) selepas jawatan itu kosong sejak Ogos lalu.
Sementara itu, Hassan Karim (PH – Pasir Gudang) mengkritik Suhakam atas sikap berdiam diri berhubung isu pendakwah Firdaus Wong yang didakwa mencadangkan cara untuk menukar agama remaja bukan Islam di bawah umur secara rahsia.
Hassan memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa Suhakam membisu mengenai perkara yang berkaitan dengan diskriminasi kaum serta kebebasan beragama di negara ini.
"Saya seorang Islam memandang perkara ini dengan serius demi keharmonian negara kita tindakan individu ini timbulkan kebimbangan kegusaran masyarakat bukan muslim di Malaysia.
"Soalan saya mengapa tidak ada respon daripada Suhakam dalam perkara ini Suhakam tentu lebih maklum memahami kebebasan agama adalah hak universal bagi semua rakyat di negara ini sama ada Muslim dan bukan Muslim," kata Hassan.
Dia berkata demikian ketika membahaskan usul ke arah 'Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) 2021-2022' di Dewan Rakyat hari ini.
Pemimpin PKR itu juga berkata menjadi tanggungjawab Suhakam untuk bercakap mengenai semua perkara yang berkaitan dengan hak asasi manusia.
Polis sedang menyiasat Firdaus kerana menghasut susulan video tular apabila dia memberikan cara dan arahan mengenai cara menukar agama kanak-kanak bukan Islam secara rahsia.
Firdaus disiasat mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan, yang menetapkan bahawa membuat kenyataan dengan niat untuk menghasut atau berkemungkinan menghasut mana-mana golongan atau komuniti untuk melakukan apa-apa kesalahan terhadap kelas atau komuniti lain boleh dihukum jika sabit kesalahan dengan penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya.
Sementara itu, tiga lagi ahli parlimen - Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN – Besut), Tuan Ibrahim Tuan Man (PN – Kubang Kerian) dan Cha Kee Chin (PH – Rasah) – bersetuju bahawa Suhakam tidak dapat beroperasi dan berfungsi dengan betul kerana ketiadaan pengerusi.
Tuan Ibrahim menegaskan semua organisasi memerlukan seorang pemimpin dan sudah tiba masanya untuk kerajaan melantik seorang individu untuk mengetuai suruhanjaya itu.
Sementara itu, Cha menyoal bila pelantikan itu akan dibuat sejak jawatan itu kosong hampir 10 bulan selepas pengerusinya sebelum ini Rahmat Mohamad secara sukarela meletak jawatan berkuat kuasa 31 Ogos lalu.
"Mengapa berlaku kelewatan sebegini, hampir 10 bulan. Nak Suhakam berfungsi dengan baik dalam struktur organisasinya ada pengerusi, pesuruhjaya dan sebagainya,
"Bila nak lantik lagi? Takkan nak tunggu genap setahun kekosongan tu berlaku baru nak lantik,” kata ahli parlimen DAP itu.
Che Mohamad pula berkata kegagalan segera melantik individu untuk menerajui jawatan itu boleh menyebabkan kelewatan dalam proses membuat keputusan suruhanjaya itu.
"Proses lantikaan... saya harapkan lantikan ini dipercepatkan tanpa ada campur tangan luar," katanya.
Rahmat (gambar atas) berundur meletak jawatan jawatan pengerusi Suhakam lebih kurang dua bulan selepas beberapa dakwaan dibuat terhadapnya.
Dia juga dikritik selepas dituduh memintas prosedur dalaman tertentu.
Sumber yang bercakap kepada Malaysiakini kemudian mendakwa Rahmat melantik pegawai khas walaupun mendapat bantahan daripada pengurusan kanan Suhakam berdasarkan penilaian individu itu untuk jawatan berasingan dalam suruhanjaya itu.
Bagaimanapun, Rahmat menyangkal dakwaan itu berkata semua keputusan dibuat dengan persetujuan pesuruhjaya Suhakam dan kemudiannya dimaklumkan kepada pengurusan kanan.
Langkah Rahmat untuk melantik pegawai khas menjadi persoalan kerana peranan itu tidak disediakan di bawah carta organisasi Suhakam.