Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keluarga mohon inkues kes kematian dalam berek polis di Pulau Pinang
Diterbitkan:  Jun 27, 2024 4:13 PM
Dikemaskini: 9:08 AM

Keluarga seorang lelaki yang meninggal dunia dalam sebuah berek polis di Pulau Pinang menuntut inkues diadakan untuk mengenal pasti punca kematian.

Setiausaha Agung Parti Urimai Satees Muniandy berkata mereka dan anggota keluarga akan menghantar memorandum kepada ketua polis negara di Bukit Aman pada Sabtu ini bagi memohon tindakan itu.

Satees mengumumkan gesaan inkues itu kerana tidak berpuas hati dengan penjelasan polis bahawa tiada unsur jenayah dalam kes yang dikelaskan sebagai mati mengejut itu.

Satees Muniandy

Katanya, selepas 100 hari kematian masih terdapat persoalan yang belum terjawab.

“Kenapa mangsa berada di dalam berek polis itu?” katanya.

Menurut Satees, keluarga mangsa sudah tiada keyakinan serta ragu-ragu hasil siasatan yang dilakukan oleh IPD Timur laut kerana masih tiada sebarang makluman mengenai perkembangan kes.

Katanya lagi, abang mangsa berkunjung ke IPD Timur Laut hampir setiap minggu untuk menuntut jawapan bedah siasat tetapi pihak polis menyatakan laporan bedah siasat masih belum siap.

Satees juga berkata dia diberitahu keluarga mangsa percaya si mati bukanlah seorang yang lemah semangat kerana mangsa merupakan seorang atlet yang mempunyai semangat juang yang tinggi.

Keluarga mangsa, katanya percaya ada kemungkinan mereka yang tinggal di berek tersebut mempunyai kaitan dengan kematian tersebut.

Sementara itu, Satees memaklumkan keluarga mangsa bersama pimpinan parti Urimai akan menghantar memorandum kepada ketua polis negara di ibu pejabat polis Bukit Aman pada Sabtu 29 Jun depan untuk menggesa penubuhan satu pasukan siasatan bebas.

Keluarga mangsa juga, jelas Satees akan menghantar memorandum kepada Pejabat Pendakwa Raya Negeri untuk meminta satu inkues diadakan untuk mengenalpasti punca kematian di berek polis itu.

Semalam Ketua Polis Daerah Timur Laut Razlam Ab Hamid berkata hasil siasatan pihak berkuasa di tempat kejadian dan mayat si mati "tidak menjumpai sebarang kesan akibat daripada perbuatan jenayah."

Bagaimanapun Razlam berkata kes ini masih di dalam siasatan polis sementara menunggu laporan bedah siasat dan laporan kimia dikeluarkan.

Di samping itu, bedah siasat yang dijalankan oleh Jabatan Forensik, Hospital Pulau Pinang pula mendapati kematian berpunca kecederaan akibat jatuh dari tempat tinggi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS