Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tindakan tegas menanti jika sertai himpunan di Putrajaya Sabtu ini
Diterbitkan:  Jun 27, 2024 1:41 PM
Dikemaskini: 5:41 AM

Polis menasihatkan orang ramai agar tidak menyertai perhimpunan yang akan diadakan di tempat letak kereta awam berhadapan Kompleks Seri Perdana di Putrajaya Sabtu ini kerana ia tidak mendapat kebenaran pemilik lokasi terbabit.

Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa berkata tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang menyertai sebarang perhimpunan berkenaan.

Katanya pemilik tanah iaitu Perbadanan Putrajaya tidak memberi kebenaran kawasan berkenaan digunakan dan ia tidak mematuhi apa yang ditetapkan dalam Akta Perhimpunan Aman (Akta 736).

Rusdi berkata polis menerima surat pemberitahuan daripada pihak penganjur pada 14 Jun lalu untuk menganjurkan perhimpunan berkenaan, namun pemilik lokasi tidak memberi kebenaran untuk aktiviti itu.

“Tuan tanah (iaitu Perbadanan Putrajaya) tidak membenarkan perhimpunan berkenaan dan polis menasihati penganjur yang menggelarkan diri sebagai Demi Negara agar tidak meneruskan perhimpunan.

“Kalau mereka teruskan juga, polis akan facilitated seperti menempatkan anggota polis di kawasan perhimpunan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, Kuala Lumpur hari ini.

Rusdi berkata polis juga mengesan satu video tular berdurasi 3:41 minit di aplikasi Tiktok yang mengajak orang ramai menyertai perhimpunan berkenaan.

Katanya polis sedang menyiasat individu yang menjadi pendukung perhimpunan itu.

Dia berkata polis telah menerima 85 laporan berhubung isu itu dan membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS