Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KOLUM | Tanggapan pada Yahudi, Zionis, rejim Tel Aviv dan Israel

KOLUM | Dalam keadaan sekarang yang sedang berlaku genosid di Gaza tentu ramai penyokong hak rakyat Palestin, terutamanya dari kalangan umat Islam berasa terganggu dari segi emosi dan sensitif apabila isu berkaitan Yahudi timbul.

Saya sendiri berasa keberatan untuk menonton berita-berita antarabangsa yang memaparkan kesengsaraan dan penderitaan penduduk Gaza. Apa yang dilakukan oleh rejim Tel Aviv adalah kejam. Lebih-lebih lagi laporan itu disampaikan oleh saluran-saluran televisyen negara yang lebih cenderung untuk menyebelahi Israel iaitu BBC, ABC, DW, Euronews, NHK, France24 dan CNA.

Saya percaya sentimen ini turut dirasai oleh kebanyakan umat Islam di seluruh dunia lebih-lebih lagi di Malaysia dan Indonesia. Hubungan emosi orang Islam di Nusantara amat kuat dengan Palestin, Baitulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa.

Maka adalah dapat difahami bahawa umat Islam di Malaysia dan Indonesia akan berasa marah dan sensitif bukan saja terhadap rejim Tel Aviv tetapi semua perkara yang berkaitan dengan Yahudi, Zionis dan Israel.

Maka apabila diseru untuk memboikot produk-produk yang dikaitkan dengan pihak yang menyokong Israel, maka ia mudah dilaksanakan. Sebab itulah produk McDonald, Starbucks, KFC dan Coca-Cola diboikot sejak Oktober tahun lalu walaupun ia tidak memberi kesan kepada perbuatan rejim Tel Aviv.

Kini apabila timbul isu syarikat pengurus dana antarabangsa, Blackrock yang turut dikaitkan dengan sokongan terhadap genosid, maka tentulah ia merupakan sesuatu yang sensitif walaupun saya sendiri seperti kebanyakan orang tidak begitu faham mengenai sistem kewangan dunia dengan harapan bahawa kerajaan tahu apa yang mereka lakukan.

Di sini perlu diingatkan sekali lagi mengenai perbezaan antara Yahudi, Zionis, rejim Tel Aviv dan Israel yang banyak orang menganggap kesemuanya serupa. Yahudi boleh merujuk pada bangsa dan agama. Dalam bahasa Inggeris, bangsa Yahudi disebut sebagai Jew dan agama Yahudi sebagai Judaism. Zionis pula metujuk pada pendokong Zionisme, iaitu fahaman yang mahukan supaya bangsa Yahudi berhak mempunyai tanah air dan negara.

Rejim Tel Aviv merujuk pada kerajaan Israel yang awalnya ditubuhkan di Tel Aviv tetapi kini berada di Baitulmaqdis. Ia disebut sebagai “rejim” dan bukannya ”kerajaan” kerana terdapat banyak pihak tidak mengiktirafnya. Israel pula adalah negara yang kini ditubuhkan di atas wilayah yang dahulunya adalah Palestin.

Walaupun dipercayai bahawa kebanyakan orang Yahudi adalah Zionis dan menyokong rejim Tel Aviv serta Israel tetapi tidaklah semua. Pada tahun 2014, melalui Youtube, saya terjumpa seorang ahli sains politik Amerika berbangsa Yahudi, Nornan Finkelstein. Saya ikuti hampir semua syarahannya yang ada di Youtube. Beliau amat lantang menentang Zionisme, rejim Tel Aviv serta Israel serta menyokong perjuangan Palestin.

Tokoh bangsa Yahudi

Seorang lagi tokoh Yahudi Amerika yang turut menyokong perjuangan Palestin adalah Noam Chomsky, seorang ahli linguistik. Chomsky yang memegang fahaman anarkisme menolak rejim Tel Aviv serta Israel. Saya terjumpa pemikiran beliau melalui buku-bukunya pada tahun 1980-an yang kebanyakannya mengenai demokrasi dan geopolitik. Beberapa bukunya ada dalam perpustakaan peribadi saya.

Apabila melihat perpustakaan itu, saya percaya sebahagian besar buku-buku di situ ditulis oleh orang Yahudi atau mengenai seseorang tokoh berbangaa Yahudi. Kebanyakan buku itu adalah bukan fiksyen dalam bahasa Inggeris. Buku-buku popular terutama dalam bidang sains itu diterbitkan oleh penerbit-penerbit tersohor di Amerika Syarikat dan United Kingdom. Ia mempunyai kualiti yang baik dan diedar dan dijual ke seluruh dunia, malah diterjemahkan je ke pelbagai bahasa.

Salah satu judul yang saya baca ialah Sapiens, a Brief History of Humankind (Sapiens, Sejarah Singkat Manusia) oleh Yuval Noah Harari, seorang profesor di Jabatan Sejarah di Universiti Hebrew, Baitulmaqdis. Dua lagi buku beliau yang saya miliki berjudul Homo Deus: A Brief History of Tomorrow (Homo Deus: Sejarah Singkat Akan Datang) dan 21 Lessons for 21st Century (21 Pelajaran bagi Abad ke-21). Kesemuanya telah diterjemahkan ke Bahasa Indonesia.

Menurut Yuval, beliau terinspirasi dari Jared Diamond, seorang Yahudi Amerika yang merupakan intelektual sains awam dari Universiti Los Angeles. Saya juga membaca buku beliau bertajuk The Third Chimpanzee (Cimpanzi Ketiga).. Selain itu, saya juga memiliki buku beliau yang bertajuk Guns, Germs and Steel (Senapang. Kuman dan Keluli), Why Sex is Fun? (Mengapa Seks Menyeronokkan), Collapse (Keruntuhan) Upheaval (Pergolakan) dan The World Until Yesterday (Dunia Sehingga Semalam).

Saya juga memiliki buku-buku yang ditulis oleh dan mengenai tokoh-tokoh berbangsa Yahudi yang mencorak dunua moden iaitu Sigmund Freud, Karl Marx dan Albert Einstein. Freud adalah seorang atheis dan menolak agama Yahudi. Marx juga seorang atheis dengan ibu bapanya telah meninggalkan agama Yahudi untuk memeluk Kristian. Einstein yang juga atheis pernah ditawarkan sebagai presiden pertama Israel tetapi beliau menolak.

Sememangnya banyak orang Yahudi Eropah menjadi ahli sains dan ilmu-ilmu lain walaupun mereka didiskriminasi dan dipinggirkan pada awal abad ke-20. Sumbangan mereka membentuk pemikiran moden abad ke-20 adalah besar dengan mereka banyak memenangi Hadiah Nobel, iaitu tidak padan dengan bilangan bangsa itu di dunia.

Namun begitu, perlu juga melihat keadaan itu dalam konteks tokoh-tokoh besar moden yang lain. Umpamanya Charles Darwin bukanlah orang Yahudi. Begitu juga dengan rakan seperjuangan Marx, Friedrich Engels bukan seorang Yahudi. Begiti juga ahli kosmologi terulung, Stephen Hawking, juga bukanlah seorang Yahudi.

Dalam bidang sastera, saya miliki dan membaca karya-karya Franz Kafka, seorang Yahudi dari Republik Czech. Sementara dalam bidang fiksyen sains, saya turut baca dan miliki karya-karya oleh Isaac Asimov, juga seorang atheis Yahudi. Buku-buku falsafah yang saya baca dan miliki antaranya adalah Ludwig Wittgenstein, seorang Yahudi Austria, Baruch Spinoza, seorang ahli falsafah Yahudi yang dianggap sesat oleh agamawan-agamawan mereka.

Sumbangan kepada tamadun Islam

Walaupun orang Yahudi tidaklah menjadi bangsa utama yang menyumbang kepada tamadun moden tetapi mereka memainkan peranan besar bersama orang British, Perancis, Jerman, Itali, Rusia dan lain-lain. Dalam memilih buku, saya utamakan kandungan pemikiran di dalam, tidak kiralah penulisnya dari bangsa apa. Walaupun latar belakang bangsa seseorang penulis tentulah memberi pengaruh kepada pemikirannya.

Tetapi apa yang nyata sejak saya mula baca buku-buku bukan fiksyen bahasa Inggeris dari tahun 1975, pastinya sumbangan intelektual orang Yahudi kepada pembentukan fikiran saya secara langsung atau tidak langsung.

Pada tahun 1980-an, ketika berlakunya kebangkitan semula Islam, saya membaca buku oleh Maryam Jameelah dan Muhammad Asad. Kedua-duanya adalah orang Yahudi yang meninggalkan agama mereka dan memeluk Islam serta memberi sumbangan besar kepada pemikiran Iskam zaman moden.

Dari pembacaan juga saya tahu bagaimana orang Yahudi turut menyumbang kepada tamadun Islam semasa zaman kekhalifahan Umayah di Damsyek dan Kordova, serta Abasiah di Baghdad dan Usmaniah di Istanbul.

Ada satu masa pada tahun 2004, dalam satu pertemuan antara wartawan Asia dan pemimpin tempatan di sebuah restoran Chinatown, Los Angeles, seorang hadirin bertanya: “Ada sesiapa di sini dari Malaysia?”

Saya pun mengangkat tangan. Orang berkenaan pun datang dan duduk di sebelah saya.

Beliau berkata: “Saya orang Yahudi. Saya hendak tahu mengapa orang Malaysia membenci orang Yahudi sedangkan negara saudara terletak jauh dari Israel?”

Jawab saya: “Secara peribadi, saya tidak membenci orang Yahudi. Apa yang saya benci ialah kekejaman orang Yahudi terutamanya Zionis dan rejim Tel Aviv yang membunuh orang Palestin serta merampas wilayah mereka untuk dijadikan Israel.”

“Tetapi semua itu tidak ada kaitan dengan orang Malaysia,” balasnya.

“Orang Palestin adalah saudara orang Malaysia, bukan saja saudara seagama tetapi saudara sesama manusia,” kataku.

Namun begitu saya sedar umumnya orang Islam Malaysia membenci orang Yahudi kerana dari kecil mereka diajar bahawa orang Yahudi adalah musuh Islam. Dalam masyarakat, ceramah-ceramah agama sentiasa dibuat untuk menyemai perasaan ini walaupun pada asal dan asasnya adalah kerana kezaliman Zionis dan rejim Tel Aviv ke atas orang Palestin.


ZIN MAHMUD adalah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS