Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Bersih kecewa pengerusi SPR dilantik tanpa melalui jawatankuasa parlimen
Diterbitkan:  Jun 26, 2024 9:20 PM
Dikemaskini: 1:20 PM

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) melahirkan kecewa dengan pelantikan Ramlan Harun sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang baru tanpa melalui Jawatankuasa Parlimen.

Bersih berkata lantikan berkenaan tetap diteruskan walaupun pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas (JPKP) Pilihan Raya, Reformasi Institusi dan Hak Asasi, William Leong, telah mengeluarkan kenyataan bahawa JPKP bersetuju meneliti pelantikan Pengerusi SPR yang baru.

"Pengumuman lantikan ini adalah bertentangan permintaan JPKP bahawa lantikan tersebut perlu dijalankan secara terbuka dengan melibatkan parlimen, sekali gus menafikan peranan parlimen.

"Apa yang lebih merisaukan, proses lantikan ini seolah-olah bercanggah dengan Perkara 114(1) Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan bahawa anggota SPR hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja (MRR).

"Setakat yang kami maklum, tidak ada mesyuarat MRR dalam masa terdekat. Maka persoalannya kepada Perdana Menteri, adakah lantikan ini mendahului MRR?" katanya dalam kenyataan.

Pada 17 Meri lalu, William berkata JKPK bersedia untuk bersidang bagi menyemak dan menapis calon-calon yang akan dipertimbangkan bagi jawatan itu.

Katanya, JKPK kemudian akan mengemukakan pandangan serta syor kepada kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong bagi menyokong Seri Paduka Baginda dan Majlis Raja-Raja dalam melaksanakan budi bicara di bawah Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan.

"Usaha melibatkan Parlimen (melalui JKPK) dalam proses pelantikan itu tanda muhibah kepada rakan kongsi masyarakat sivil dan pengiktirafan keprihatinan mereka, sambil menunjukkan Kerajaan Perpaduan ini komited menyampaikan pembaharuan yang nyata, segera dan berimpak, di samping pembaharuan struktur jangka panjang,” kata William dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Bersih berkata pengumuman kerajaan Madani pimpinan Anwar Ibrahim hadir selepas dua perkembangan regresif.

Pertama, katanya, pengumuman Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul bahawa RUU Akta Perkhidmatan Parlimen akan ditangguhkan sekali lagi ke sesi parlimen berikutnya.

Manakala kedua, penggunaan Akta Hasutan untuk menyiasat aktivis Mukmin Nantang daripada Borneo Komrad berkenaan isu pengusiran etnik Bajau Laut.

Bersih berkata berdasarkan perkembangan ini kerajaan mengesahkan penilaian gabungan itu awal bulan ini yang memberikan markah “F” untuk reformasi pilihan raya.

"Kepada saudara Anwar, beliau telah bersiaga untuk memegang tampuk kepimpinan tertinggi negara sejak menjadi Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1993, dan tidak dapat tidak kita pasti akan tertanya, adakah ini saja reformasi yang beliau dapat lakukan selepas persediaan selama 31 tahun?" soalnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS