Paling Popular
Terkini

PARLIMEN | Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Johari Abdul digesa menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap wakil rakyat blok kerajaan yang tidak mengundi rang undang-undang (RUU) Mavcom (Pembubaran) 2024, hari ini.

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata gesaan itu penting bagi memastikan tiada unsur-unsur khianat terhadap RUU yang dibentangkan oleh kerajaan.

“Tan Sri Speaker saya nak point out the fact, tadi dua orang ahli Dewan daripada MCA tidak mengundi (RUU). Jadi saya nak minta Tan Sri untuk menyiasat sama ada dua MP MCA ini sengaja boikot atau tidak.

“Kalau betul-betul mereka sengaja tidak mahu mengundi untuk pihak kerajaan saya minta Tan Sri Speaker mempertimbangkan mengalih tempat mereka daripada sini (blok kerajaan) ke blok pembangkang,” katanya ketika bangkit membahaskan RUU Pihak Berkuasa Penerbangan Malaysia (pindaan) 2004 di Dewan Rakyat, hari ini.

Di Dewan Rakyat, MCA hanya mempunyai dua Ahli Parlimen iaitu Ayer Hitam, (Wee Ka Siong) dan Tanjong Piai (Wee Jeck Seng).

Terdahulu, Dewan Rakyat hari ini meluluskan rang undang-undang untuk membubarkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).

Rang Undang-undang Mavcom (Pembubaran) 2024, yang dibentangkan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah pada Isnin (24 Jun), diluluskan melalui undi suara majoriti selepas perbahasan hangat.

Bacaan kedua rang undang-undang itu, yang dibentangkan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke awal hari ini diluluskan melalui undian blok dengan 93 menyokong, 63 menentang manakala 66 tidak hadir.

Rang undang-undang itu bertujuan untuk membubarkan Mavcom, memindahkan hak, kuasa dan dananya kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Kontrak sedia ada yang dibuat oleh Mavcom akan kekal sah sehingga tamat tempoh.

Sebaik sahaja digubal, Mavcom dan kakitangannya akan berintegrasi secara beransur-ansur ke dalam CAAM menjelang tahun depan, bertujuan untuk mengurangkan birokrasi dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan penerbangan awam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS