Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijadualkan membuat keputusan petang esok berhubung permohonan penyandang kerusi DUN Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim bagi mendapatkan perintah menghalang kerusinya daripada dikosongkan.
Bercakap kepada pemberita, Mohd Azizi berkata ia susulan permohonan injuksinya sebelum ini.
"Buat masa ini kita mohon perintah injunksi ini untuk memastikan tidak ada pilihan raya.
“Peguam saya juga sudah masukkan perkara-perkara lain yang boleh atau menghalang keputusan speaker DUN Kelantan (Mohd Amar Nik Abdullah) bagi memastikan pengosongan kerusi tersebut (tidak berlaku).
"Mungkin selepas kita dapat keputusan Mahkamah (Tinggi), maksudnya SPR akan tangguh dahulu pengumuman berkenaan tarikh (pilihan raya kecil)," katanya kepada Malaysiakini di lobi Parlimen, hari ini.
Mohd Azizi yang juga adalah ahli parlimen Gua Musang berkata demikian ketika mengulas tindakan bahawa SPR akan mengumumkan tarikh bagi pilihan raya kecil Nenggiri setelah satu mesyuarat berlangsung Jumaat ini.
Media sebelum ini melaporkan, Mohd Amar mengumumkan kerusi Nenggiri kosong susulan selepas DUN Kelantan pada 13 Jun menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Adun dan Bersatu mengenai keahlian Mohd Azizi yang terhenti daripada Bersatu.
Ditanya jika dia akan mempertahankan kerusi itu jika SPR mengisytiharkan pilihan raya kecil perlu diadakan, Mohd Azizi berkata tidak ada keperluan untuk berbuat demikian.
Jelasnya, DUN Kelantan telah melakukan beberapa kesalahan dalam mengumumkan kekosongan kerusi tersebut.
"Saya tak nampak untuk kita terus bertanding (PRK DUN Nenggiri) sebab buat masa ini kita maintain dengan Parlimen.
"Cuma selaku penyandang di DUN berkenaan, kita cuba sedaya upaya sebab ini mandat rakyat.
"Kalau kita tengok beberapa Seksyen kita dapati setelah diberi taklimat oleh peguam kita bahawa DUN Kelantan telah melakukan beberapa kesalahan dalam proses mengumumkan notis tersebut.
“Sebagai contoh, pengisytiharan pengosongan itu tidak buat dalam dewan. Sebenarnya kalau kita tengok di Parlimen, mungkin minggu depan kita akan dengar berkenaan keputusan speaker di Parlimen,” katanya.
Mohd Azizi berkata speaker DUN jelas membuat kesalahan apabila membuat pengumuman kekosongan kerusi tersebut di luar DUN.
Katanya, Mohd Amar sepatut memberikan notis kekosongan tersebut kepada dirinya terlebih dahulu.
“Sehingga saat ini kita tidak menerima apa-apa dokumen daripada pejabat speaker mengatakan saya ini telah diisytiharkan kosong, tapi kita dapat info daripada media.
“Kalau mengikut prosedur sebenar, setelah speaker menerima apa-apa dokumen daripada parti, speaker kena maklumkan saya dahulu,” katanya lagi.