Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAC beri masa 2 bulan pada Felcra, k'jaan laksanakan syor isu hutang

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) memberi tempoh dua bulan kepada kerajaan dan Felcra untuk melaksanakan cadangan berhubung peningkatan hutang GLC itu.

Semasa sidang media, Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin menekankan kepentingan lima cadangan jawatankuasa itu, yang dirumuskan selepas kajian menyeluruh terhadap isu-isu dihadapi Felcra.

“PAC memberikan tempoh selama dua bulan kepada Kementerian Kewangan Diperbadankan (MKD), Kementerian Kewangan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), dan Felcra Berhad sebelum dipanggil semula untuk Prosiding Tindakan Susulan bagi membolehkan Jawatankuasa ini mengetahui tindakan yang telah diambil oleh MOF dan Felcra terhadap lima syor PAC yang dikemukakan,” katanya hari ini.

Mas menegaskan bahawa kerugian yang ditanggung oleh anak syarikat Felcra adalah penyumbang utama kepada hutang Felcra.

Dia berkata Felcra Properties berhutang kepada Felcra RM842.7 juta, dan kerajaan juga telah meminjamkan Felcra RM544 juta untuk membangunkan projek komersial Semarak20 di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Antara lima cadangan itu ialah Felcra mengkaji semula struktur dan operasinya agar sejajar dengan matlamat asalnya, penubuhan dan kewajipan sosialnya untuk menjaga kepentingan pesertanya dan pembangunan masyarakat luar bandar.

“KKDW dan Felcra perlu lebih bertanggungjawab dan tegas dalam mengawal selia anak-anak syarikatnya supaya menjana keuntungan dan mencapai matlamat penubuhan.

"KKDW dan Felcra perlu melaporkan perkembangan terkini status

pembayaran hutang kepada kerajaan dan pelaksanaan strategi ke atas projek Semarak20 kepada PAC setiap tiga bulan sebagai satu mekanisme pemantauan” jelasnya.

Mas juga mengesyorkan agar Felcra meningkatkan keupayaannya sebelum menceburi bidang selain perniagaan terasnya.

Tambahnya, laporan itu dibentangkan selepas PAC menjalankan sembilan prosiding.

“Laporan ini dibentangkan selepas PAC mengadakan sembilan prosiding bermula 27 Jun 2023 hingga 29 Februari 2024 dengan memanggil 15 saksi terdiri daripada Jabatan Audit Negara, MOF, KKDW, Felcra Berhad dan syarikat WZR Group iaitu kontraktor Menara Semarak 20,,” katanya.

Dua bekas pengerusi Felcra, Bung Mokhtar Radin dan Tajudin Abdul Rahman, antara yang dipanggil. Tajudin memegang jawatan itu antara 2008 hingga 2013, manakala Bung pula memegang jawatan itu dari 2013 hingga 2018.

Prosiding PAC ke atas Felcra didorong oleh penemuan Laporan Ketua Audit Negara 2021 Siri 2, yang mendedahkan bahawa tunggakan hutang Felcra telah melonjak kepada RM312.22 juta pada 31 Disember 2021 – peningkatan yang mengejutkan daripada RM82 juta pada tahun sebelumnya. Jabatan Ketua Audit Negara juga mendapati Felcra berhutang kepada kerajaan sebanyak RM3.67 bilion setakat 31 Disember 2021.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS