Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis siasat aktivis pro-Palestin berhubung protes di kedutaan AS

Tiga aktivis pro-Palestin disoal siasat polis susulan protes yang diadakan dalam satu majlis di Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di ibu negara awal bulan ini.

Ketiga-tiga mereka dari Gegar Amerika itu memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi petang tadi, dengan diiringi pengarah Lawyers for Liberty, Zaid Malek.

Salah seorang aktivis, Kamal Aarif Kamaruddin memberitahu pemberita di luar balai polis bahawa pihak berkuasa itu berulang kali menghubungi ibu bapanya untuk mengganggu mereka.

Kamal, 22 juga melahirkan rasa tidak berpuas hati kerana pihak polis tidak mengeluarkan notis di bawah Seksyen 111 Kanun Tatacara Jenayah.

“Mereka tidak mengikut prosedur, tidak memberi notis di bawah Seksyen 111, dan mengganggu ahli keluarga.

“Mereka menelefon ibu bapa saya empat hingga lima kali sehari semasa mereka bekerja. Jadi, ini hanyalah salah satu cara kerajaan terus menakut-nakutkan aktivis. Walaupun berada di bawah kerajaan kononnya reformis, ugutan terhadap penunjuk perasaan masih berterusan,” katanya.

Seksyen 111 Kanun Tatacara Jenayah memberi kuasa kepada pihak polis mengeluarkan perintah bertulis untuk memaksa mana-mana individu merekodkan keterangan mereka, dan bagi majistret mengeluarkan waran tangkap terhadap mereka yang enggan mematuhi perintah itu.

Menurut Kamal, pihak polis mahu mengesahkan apakah mereka menyertai protes 10 Jun lalu.

Dalam pada itu Kamal mengkritik kerajaan dengan mengatakan semakin kuat bantahan aktivis terhadap peranan AS dalam konflik yang di Gaza, semakin keras tindakan kerajaan terhadap mereka.

Ini katanya walaupun kerajaan menunjukkan pendirian yang kelihatan pro-Palestin.

“Kami akan terus meningkatkan tindakan kami sehingga pembunuhan beramai-ramai di Gaza berakhir dan sehingga Amerika berhenti mempersenjatai rejim Zionis,” tambahnya.

Dua lagi individu yang memberikan keterangan enggan nama mereka didedahkan.

Mereka tiba di IPD Dang Wangi pada 2.30 petang dengan soal siasat mengambil masa kira-kira satu jam lima belas minit.

Kira-kira lima orang hadir untuk menunjukkan solidariti dengan aktivis.

Zaid memberitahu pemberita bahawa siasatan polis dijalankan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS