Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu Bajau Laut: Polis siasat pengasas NGO Borneo Komrad bawah Akta Hasutan
Diterbitkan:  Jun 25, 2024 5:57 PM
Dikemaskini: 10:29 AM

Polis memanggil aktivis hak asasi manusia di Sabah, Mukmin Nantang untuk disoal siasat di bawah Akta Hasutan, yang dipercayai ada kaitan dengan kes pengusiran Bajau Laut di Semporna baru-baru ini.

Menurut rakan aktivis berkenaan, Asraf Sharaf, yang merupakan penyelaras Bersih Sabah, Mukmin diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna di Sabah Khamis ini.

“(Kami percaya) ini mungkin sebab sebaran video rumah Bajau Laut dimusnahkan dua minggu lepas.

"Mukmin akan diwakili peguam Sherzali Asli dari Pusat Hak Asasi Manusia Sabah (semasa memberi keterangan)," kata Asraf kepada Malaysiakini.

Ketua Polis Daerah Semporna Mohd Farhan Lee Abdullah ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan bahawa polis telah menghubungi Mukmin untuk memberikan keterangannya di bawah Akta Hasutan.

“Kes itu masih dalam siasatan,” katanya dalam satu khidmat pesanan ringkas.

Mukmin ialah pengasas NGO Borneo Komrad yang berpangkalan di Sabah, dan memainkan peranan penting dalam mengetengahkan isu pengusiran masyarakat Bajau Laut di Semporna awal bulan ini.

Dia telah membawa kepada perhatian umum mengenai dakwaan operasi pihak berkuasa untuk mengusir penduduk berkenaan dengan merobohkan rumah atas air milik mereka.

Borneo Komrad juga telah menyiarkan beberapa rakaman video yang menunjukkan tindakan perobohan tersebut.

Antaranya video yang memaparkan beberapa lelaki sedang menolak sebuah rumah yang usang sehingga roboh, serta menunjukkan seorang perempuan merintih kerana kehilangan tempat tinggal dan memohon belas kasihan daripada "pihak di atasan".


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS