Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bunyi sedaplah, kita hebat pejuang tapi tak realistik - PM bidas pengkritik GIP

PARLIMEN | Mungkin terdengar baik untuk membatalkan semua perjanjian dengan syarikat berkaitan Israel seperti Apple dan Microsoft tetapi ia tidak realistik, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini.

Perbezaan mesti dibuat antara syarikat berkaitan Israel dan syarikat berpangkalan di Israel, kata Anwar mempertahankan rancangan pengambilalihan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) melibatkan Rakan Kongsi Infrastruktur Global (GIP).

"Kalau syarikat ada kepentingan Israel, keputusan kita syarikat Isarel. syarikat Apple, Microsoft, Nvidia, semua ada kepentingan Israel. Apakah kita batalkan?

bunyi sedap lah bagi orang dengar seronok, kita ini hebat, pejuang. Tapi sebenarnya tidak realistik,” katanya memberitahu sidang Dewan Rakyat.

Anwar merujuk kepada keputusan kerajaan melarang syarikat Israel beroperasi di negara itu.

Pada 22 Jun lalu, Apple membuka kedai pertamanya di negara ini.

Kontroversi mengenai MAHB tercetus pada 15 Mei, apabila Khazanah Nasional Berhad mengumumkan Abu Dhabi Investment Authority dan GIP - melalui GIP Aurea Pte Ltd - akan membentuk konsortium untuk memperoleh saham dalam pengendali lapangan terbang itu.

Keputusan itu mendapat kritikan berbagai pihak selepas BlackRock, sebuah syarikat yang disifatkan mempunyai hubungan rapat dengan Israel didapati sedang dalam usaha memperoleh saham GIP.

Tetapi Anwar berkata perjanjian itu tidak akan melibatkan BlackRock dan menolak kebimbangan keselamatan negara akan dikompromi.

"Faktor keselamatan tidak berbangkit kerana (MAHB) masih milik kerajaan," katanya.

Ini jelas Anwar kerana Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masih akan memiliki 70 peratus MAHB.

Pemimpin utama pembangkang Hamzah Zainudin (Perikatan Nasional-Larut), Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) dan Abdul Hadi Awang (PN-Marang) bagaimanapun tidak hadir perbahasan ini.

Semalam, Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengulangi kebimbangannya mendakwa perjanjian pengambilalihan MAHB itu berat sebelah yang memihak kepada Amerika Syarikat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS