Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Subsidi diesel: Merungkai 'spin', menegakkan fakta

Dalam artikel bertajuk “Muhyiddin betul, Anwar penipu, rakyat mangsa kenaikan harga diesel” terdapat beberapa tuduhan yang kurang tepat atau sengaja dipesongkan penulis. Menariknya, artikel tersebut ditulis oleh bekas Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang sepatutnya lebih arif tentang kepentingan fakta dan statistik dalam menguatkan hujah, bukan menggunakan spin.

Pertama sekali, beliau mendakwa bahawa dasar penyasaran subsidi diesel akan menyebabkan kenaikan harga barangan. Ini tidak berasas sama sekali.

Seperti yang sedia maklum, pengangkutan awam dan logistik masih menerima subsidi di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) ataupun penggunaan fleet card. Ini melibatkan 33 kategori kenderaan, termasuk bas sekolah, bas ekspres, bas mini, teksi, dan lori kargo umum. Oleh itu, penyasaran subsidi diesel tidak sepatutnya menyebabkan kenaikan harga barangan secara keseluruhan.

Selain itu, pelbagai operasi penguatkuasaan juga telah diperkasakan dan ditingkatkan seperti OPS KESAN, OPS CATUT, OPS TERJAH, OPS TIRIS, OPS MENU, OPS PASAR dan OPS SAMAR bagi memastikan bekalan sentiasa stabil dan mengekang elemen pencatutan di pasaran.

Dasar menyusahkan rakyat?

Tuduhan penulis bahawa dasar penyasaran subsidi hanya menyusahkan rakyat juga bak menegakkan benang yang basah. Umum diketahui, kerajaan telah memperkenalkan program Budi Madani untuk pemilik kenderaan diesel (Budi Individu), serta pekebun dan peladang kecil yang layak (Budi Agro-komoditi). SKDS juga merupakan salah satu komponen Budi Madani.

Penerima Budi Individu serta Budi Agri-komoditi diberi RM200 sebulan untuk membantu mereka menampung kenaikan harga diesel. Sehingga 19 Jun 2024, lebih 100,000 permohonan telah diluluskan. Seramai 76,000 pemohon pula telah menerima bayaran bantuan tunai sehingga tarikh yang sama.

Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan, bantuan ini dijangka memadai untuk lebih kurang 80% pemilik kenderaan diesel yang melakukan perjalanan sebanyak 75km atau kurang setiap hari.

Dengan perkataan lain, RM200 itu cukup untuk menampung kenaikan harga diesel bagi seorang pemilik pikap diesel yang berulang alik dari Bangi ke KLCC untuk purata 22 hari sebulan.

Perlu ditekankan bahawa dasar penyasaran subsidi tidak bermakna penghapusan subsidi.

Kerajaan masih memperuntukkan RM7 bilion setahun sebagai subsidi diesel untuk golongan serta sektor yang memerlukan.

Kerajaan Madani tidak akan sesekali membiarkan rakyat hidup dalam kesusahan. Peruntukan program subsidi bersasar Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 tahun ini dinaikkan sebanyak 20% kepada RM1.5 bilion berbanding RM1.26 bilion pada tahun lepas.

Sumbangan Asas Rahmah atau Sara ditambah baik dengan meningkatkan peruntukan kepada RM700 juta, lebih lima kali ganda berbanding RM130 juta pada tahun lalu, kepada 700,000 penerima.

Buat-buat tidak tahu

Penulis juga mengenalpasti sektor pembinaan, yang dikatakan akan teruk terjejas dengan dasar penyasaran subsidi ini. Mungkin penulis tidak tahu atau buat-buat tidak tahu bahawa sebenarnya sektor pembinaan tidak layak menggunakan subsidi diesel sejak dahulu lagi.

Jika benar sektor ini menggunakan diesel bersubsidi sebelum ini, ini bermakna mereka melakukannya secara tidak sah dan menyumbang kepada ketirisan berbilion ringgit setahun yang merugikan negara. Adakah penulis mempertahankan mereka yang telah menyelewengkan diesel bersubsidi sebelum ini?

Persoalannya, kenapakah pentadbiran-pentadbiran sebelum ini tidak bertindak ke atas mereka? Bukankah presiden parti penulis, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pernah menyandang jawatan Perdana Menteri sebelum ini? Kenapa hanya sekarang kerajaan Madani dipersalahkan?

Ketirisan satu hakikat

Hujah penulis bahawa penyeludupan hanya alasan untuk melaksanakan penyasaran subsidi diesel adalah jauh tidak tepat sama sekali.

Berdasarkan statistik, penggunaan diesel bersubsidi meningkat mendadak dari 6.1 bilion liter pada tahun 2019 kepada 10.8 bilion liter pada tahun 2023, walaupun bilangan kenderaan diesel tidak bertambah dengan ketara. Subsidi diesel meningkat 10 kali ganda dari RM1.4 bilion pada tahun 2019 kepada lebih RM14.3 bilion pada tahun 2023.

Ini menunjukkan bahawa terdapat penyalahgunaan yang ketara dalam sistem subsidi diesel, dan penyasaran subsidi adalah langkah yang wajar untuk menangani isu ini.

Kerajaan dijangka dapat menjimat sebanyak RM4 bilion ekoran dasar ini. Penjimatan ini dapat disalurkan kepada penambahbaikan prasarana awam seperti hospital, sekolah, jalan raya, pengangkutan awam serta jaringan perlindungan sosial yang dinikmati oleh rakyat.

Muhyiddin sendiri menyokong rasionalisasi subsidi

Memandangkan penulis telah mempolitikkan isu penyasaran diesel ini, saya ingin mengambil kesempatan mengingatkan beliau bahawa Tan Sri Muhyiddin sendiri pernah menyokong dasar penyasaran subsidi.

Selewat Julai 2022, Tan Sri Muhyiddin, selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara ketika itu, telah menyatakan bahawa rasionalisasi subsidi bahan api boleh menjimatkan kerajaan RM20 bilion setiap tahun.

Mengapakah presiden Bersatu kini mengubah pendirian dan menentang langkah ini?

Adakah kerana ini adalah satu pendirian populis dan beliau ingin meraih undi menjelang pilihan raya kecil Sungai Bakap?

Azam politik PMX

Hakikatnya, semua Perdana Menteri sebelum ini pernah menyokong dasar rasionalisasi subsidi. Namun, hanya PMX Datuk Seri Anwar Ibrahim seorang sahaja yang mempunyai azam politik (political will) dan keberanian untuk melaksanakannya demi manfaat jangka pendek dan jangka panjang negara.

Kerajaan Madani bukan kerajaan populis. Kita perlu mengambil langkah berani dan bertanggungjawab untuk memulihkan semula kedudukan fiskal dan ekonomi semasa demi masa hadapan negara.

Kita perlu pulihkan keyakinan dan perbaiki sistem pentadbiran termasuk meningkatkan tatakelola. Insya-Allah, dalam masa tempoh sederhana kita dapat saksikan perubahan taraf hidup dan kebajikan rakyat serta sektor perniagaan.

Tidak dapat dinafikan penyasaran subsidi diesel adalah langkah yang perlu dan wajar diambil oleh kerajaan untuk memastikan penggunaan yang lebih efisien dan mengurangkan ketirisan.

Kerajaan Madani juga telah mengambil langkah-langkah untuk membantu golongan yang terjejas melalui program-program seperti BUDI MADANI.

Tidak perlulah kita mengapi-apikan sentimen dengan spin berbaur politik yang hanya menggadai nasib rakyat Malaysia dan masa hadapan anak-anak kita.


MUHAMMAD KAMIL ABDUL MUNIM ialah Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS