Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penjualan saham MAHB: Itu pandangan peribadi Tok Mat, kata Zahid
Diterbitkan:  Jun 24, 2024 9:33 PM
Dikemaskini: 1:33 PM

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata pendirian parti itu senada dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung rancangan penjualan pegangan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB).

Menurut Berita Harian, Ahmad Zahid berkata kenyataan timbalannya, Mohamad Hasan berkenaan perkara itu semalam adalah bersifat peribadi dan tidak mewakili Umno.

"Pendapat yang diberikan oleh Tok Mat (Mohamad) adalah pendapat peribadinya dan saya sudah bertemunya malam tadi.

"Beliau menyatakan itu hanya pandangannya dan bukan mencerminkan pandangan Umno secara rasmi," katanya seperti dipetik.

Semalam, Mohamad dilaporkan berkata para menteri daripada Umno telah menyatakan pandangan kepada kerajaan agar tidak meneruskan penjualan saham MAHB kepada Global Infrastructure Partners (GIP).

GIP dalam proses diambil alih oleh Blackrock, iaitu syarikat Amerika Syarikat yang mempunyai pertalian rapat dengan Israel selain melabur dalam syarikat yang membekal senjata kepada regim Zionis.

“Kita menteri-menteri Umno memberikan pandangan jika boleh perkara ini tidak diteruskan tetapi transaksi itu sudah terlampau maju," katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Mohamad yang juga menteri luar pada masa sama berkata perkara itu tidak diputuskan menerusi kabinet dan Khazanah perlu menilai kesan penjualan saham MAHB itu.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut memaklumkan perkara itu sudah dibawa beberapa kali ke kabinet namun tidak dibincangkan secara terperinci.

"Butiran terperinci perkara itu sudah dijelaskan dalam pertemuan semalam bersama seluruh Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara," katanya lagi.

Khazanah mengetuai konsortium yang turut dianggotai KWSP, GIP dan Abu Dhabi Investment Authority (Adia) untuk mengambil alih saham MAHB yang belum dimiliki Khazanah dan KWSP.

Pada Jumaat lalu, GIP berkata Blackrock tidak akan terlibat dalam transaksi melibatkan MAHB memandangkan pengambilalihan syarikat itu hanya akan dimuktamadkan pada suku ketiga tahun ini.

Pada hari sama, Anwar berkata perbincangan dengan GIP telah bermula sebelum Blackrock memulakan proses pengambilalihan itu.

Anwar turut berkata Blackrock telah pun memiliki kepentingan dalam banyak syarikat di Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS