Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda) hari ini meminta kerajaan menyenaraikan kenderaan yang layak menerima subsidi diesel.
Dalam sidang media di parlimen, Syed Saddiq berkata kenyataan bercanggah daripada kerajaan menimbulkan ketidakpastian dalam kalangan rakyat.
"Kita tuntut apa kereta yang boleh dapat (subsidi diesel) apa yang tak boleh dapat?
"Kita dengar ucapan YAB perdana menteri, dia katakan kalau gunakan kereta (Toyota) Hilux tak boleh dapat (subsidi), kereta Hilux kereta orang kaya.
"Tetapi realitinya, orang yang gunakan Hilux secondhand, beli secondhand, kosnya baru RM30,000 hingga RM45,000. You can check it online.
"Tetapi pada masa yang sama, kalau kita dengar (ucapan) PM, (pemilik) Hilux boleh dapat juga (subsidi). Jadi tak ada ketentuan," katanya merujuk ucapan Anwar Ibrahim sebelum ini.
Dia merujuk pemansuhan subsidi diesel berkuat kuasa pada tengah malam 10 Jun lalu sebagai sebahagian daripada langkah penjimatan untuk mengendalikan hutang negara.
Berikutan itu, harga diesel diapungkan mengikut kadar pasaran dan dikemaskini setiap minggu seperti RON97.
Kerajaan memperkenalkan program bantuan Budi Madani kepada pemilik kenderaan diesel persendirian dan fleet card untuk sektor pengangkutan awam serta pengangkutan logistik.
Bagaimanapun Syed mengkritik langkah tersebut dengan mengatakan orang ramai tidak diberi masa yang cukup untuk mendaftarkan diri kepada Budi Madani.
"Tidak sampai sebulan permohonan dibuka, tapi kerajaan sudah mengapungkan harga diesel dan kemudian diberikan bantuan.
“Seperti dasar-dasar sebelum ini, rakyat perlu menyesuaikan diri beberapa bulan lebih awal sebelum dilaksanakan secara menyeluruh," katanya.