Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anak Najib: Jual saham MAHB ibarat gadai maruah negara
Diterbitkan:  Jun 24, 2024 5:12 PM
Dikemaskini: 9:12 AM

Exco Pemuda Umno Nazif Najib menyifatkan penjualan saham Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada konsortium yang dianggotai Global Infrastructure Partners (GIP) seperti menggadai maruah negara kepada musuh.

Nazif berkata, umum mengetahui GIP kini dalam proses untuk diambil alih Blackrock, iaitu syarikat Amerika Syarikat yang mempunyai pertalian rapat dengan Israel.

"Membenarkan atau meluluskan proses pemilikan saham MAHB kepada Blackrock seperti membenarkan musuh kita masuk ke rumah sendiri menggunakan pintu hadapan.

"Ini juga seperti menggadaikan maruah yang kita jaga dengan penuh adab dan susila daripada musuh nyata," katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Kata anak bekas perdana menteri Najib Razak itu lagi, kerajaan seharusnya lebih sensitif berkenaan isu keselamatan negara dan bukan mementingkan keuntungan daripada penjualan saham itu sahaja.

Dia juga mendakwa penjualan itu akan "membenarkan musuh" - iaitu Israel - untuk mengeksploitasi maklumat dan kerahsiaan negara dan maka meletakkan negara dalam bahaya.

Untuk rekod, Blackrock antara lain memiliki pelaburan dalam syarikat yang membekal senjata kepada regim Zionis.

Pada Jumaat lalu, GIP berkata Blackrock tidak akan terlibat dalam transaksi melibatkan MAHB memandangkan pengambilalihan syarikat itu hanya akan dimuktamadkan pada suku ketiga tahun ini.

Semalam, Timbalan presiden Umno Mohamad Hasan berkata para menteri daripada parti itu telah menyatakan pandangan kepada kerajaan agar tidak meneruskan penjualan saham itu.

Bagaimanapun, dia yang juga menteri luar berkata soal sama ada urus niaga itu akan diteruskan atau tidak bukan diputuskan menerusi kabinet.

Sikap munafik dan langkah 'flip flop'

Mengulas lanjut, Nazif berkata Malaysia sejak dahulu konsisten memperjuangkan kemerdekaan Palestin daripada rejim Zionis dan langkah membenarkan Blackrock memiliki pegangan dalam entiti yang menguruskan lapangan terbang di Malaysia tidak mempamerkan pendirian sebenar negara.

"Tindakan flip flop ini cukup meloyakan.

"Apakah Kerajaan sedar dengan meluluskan urusan jual beli ini, kerajaan membuka ruang kemusnahan yang lebih besar?" kata ketua Pemudai Umno Langkawi itu lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS