Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DBKL digesa batal cadangan jadikan tapak Ashram kawasan komersial

Penduduk sekitar kawasan Brickfields menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempertimbangkan semula status tapak Vivekananda Ashram Brickfields berusia 124 tahun yang dicadangkan sebagai kawasan komersial utama di bawah Pelan Tindakan Kuala Lumpur 2040 (PTKL 2040).

Dalam sesi pendengaran awam di Auditorium DBKL, Kuala Lumpur hari ini, Pasukan Tindakan Selamatkan Vivekananda Ashram Brickfields (SVABAC) berkata mereka memberi penjelasan kepada panel hari ini mengenai isu semasa mengenai kawasan ashram itu.

"Kami hari ini memberi pandangan kami dan membantah cadangan DBKL kawasan ashram itu diklasifikasi sebagai kawasan komersial utama atau 'blue zone'.

"Kami nak kawasan dikekalkan sebagai kawasan kemudahan awam (white zone).

"Kami berterima kasih kepada panel hari ini kerana meluangkan hampir 45 minit dan berjanji membawa cadangan dan pandangan kami ke DBKL," kata wakil SVABAC Deva Kunjari Sambanthan kepada pemberita selepas sesi tersebut.

Terdahulu sesi taklimat itu diadakan secara tertutup dengan mereka yang hadir tidak dibenarkan mengambil gambar atau membuat rakaman.

Menurut Deva, mereka berasa bimbang terhadap cadangan DBKL untuk menjadikan plot seluas 0.91 ekar itu sebagai kawasan komersial utama.

"Kawasan itu telah digazetkan sebagai tapak warisan negara pada tahun 2016.

"Tapi kita tidak boleh menolak kemungkinan pada masa akan datang kawasan itu diambil untuk pembangunan.

"Jadi kami nak DBKL kekalkan tanah itu sebagai tapak warisan dan hanya digunakan untuk aktiviti-aktiviti agama, budaya dan sosial sahaja," katanya.

Pada 2014 dilaporkan bahawa pengerusi Vivekananda Ashram Dr K. Ampikaipakan berkata lembaga pemegang amanah telah meluluskan keputusan untuk menjual plot tanah seluas 0.4 hektar itu kepada pemaju.

Tanah itu diperuntukkan untuk pembangunan semula kediaman 23 tingkat dengan 264 pangsapuri dan tempat letak kereta lapan tingkat dibina di tapak itu.

Susulan bantahan awam dan campur tangan menteri Pelancongan dan Kebudayaan ketika itu Mohamed Nazri Abdul Aziz, kerajaan melalui Jabatan Warisan Negara (JWN) memutuskan untuk mewartakan Ashram sebagai bangunan berstatus warisan pada 2016.

Ashram, dengan patung gangsa pemimpin rohani terkenal Swami Vivekananda, adalah salah satu bangunan ikonik Brickfields yang telah menjadi sebahagian daripada pemandangan bersejarah kawasan itu dan tempat pelancongan popular.

Pada 13 Okt 2015, syarikat Vivekananda Ashrama Kuala Lumpur memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi untuk mengetepikan keputusan JWN mewartakan bangunan berstatus warisan.

Pada 15 Julai 2015, pesuruhjaya JWN ketika itu Dr Zainah Ibrahim meneruskan dan menetapkan Lot 33, No.220, Jalan Sambanthan, Brickfields sebagai tapak warisan.

Syarikat itu kemudiannya memohon perintah untuk memaksa JWN dan pesuruhjaya mempertimbangkan semula cadangannya bahawa hanya bangunan Vivekananda Ashram ditetapkan sebagai tapak warisan, bagi membolehkannya membangunkan tanah sekitarnya.

Mahkamah Tinggi menolak permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS