Paling Popular
Terkini

PARLIMEN | Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan mempertahankan hak negeri yang mengenakan peraturan ketat berhubung arak dan pakaian ke atas pelancong.

Dia berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai negeri-negeri yang melarang pelancong daripada minum arak atau memakai pakaian yang dianggap menjolok mata.

Dalam jawapan kepada Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, dia berkata negeri-negeri seperti itu boleh memenuhi pasaran khusus.

Mengambil contoh Langkawi, dia berkata ia boleh diletakkan sebagai destinasi pelancong beragama Islam.

"Kita tahu untuk Pulau Langkawi bersaing hebat dengan pulau di negara jiran kita mungkin agak susah itu sebabnya mungkin kita akan memposisikan Langkawi sebagai pulau ‘preferred muslim destination’ (destinasi pilihan Muslim) supaya ia lebih ke arah kekeluargaan, lebih ke arah kerohanian," katanya.

Tambahnya, setiap negeri tidak perlu memainkan peranan yang sama dalam menarik pelancong asing kerana ia akan mengakibatkan persaingan antara negeri.

Soalan Kok menyebabkan kekecohan yang boleh didengari di Dewan Rakyat, dengan Ahli Parlimen Langkawi Mohd Suhaimi Abdullah (Perikatan Nasional) berdiri untuk menjawab soalan itu.

“Saya terpanggil apabila Seputeh menyebut seluar pendek. Tak habis-habis,” kata Suhaimi.

Dia seterusnya bercakap mengenai kebersihan pantai dan laut di Langkawi, yang menurutnya tahap kekotoran semakin parah.

Bagaimanapun, Khairul berkata, isu kebersihan terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, dan bukannya kementeriannya.

Namun dia mengakui kementeriannya mempunyai program sukarelawan yang akan diaktifkan di Langkawi untuk memastikan kebersihan pulau itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS