Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Loke nafi PAS akan dijemput sertai kerajaan perpaduan
Diterbitkan:  Jun 24, 2024 8:58 AM
Dikemaskini: 12:59 AM

Setiusaha Agung DAP Anthony Loke menafikan PAS akan dijemput menyertai Kerajaan Perpaduan, susulan laporan media yang memetik Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil tidak mengesahkan mahupun menafikan khabar angin yang PAS akan menyertai gabungan Kerajaan Perpaduan.

"Tidak. Sebenarnya tak ada perbincangan soal PAS nak menyertai Kerajaan Perpaduan, mungkin saya rasa media telah salah erti apa yang dikatakan oleh Fahmi.

"Fahmi kata banyak perbincangan. Perbincangan itu antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri. Saya sendiri pun ada jumpa dengan pemimpin PAS, adakah saya jemput dia masuk Kerajaan Perpaduan?

"Tidak. Bukannya perbincangan pasal politik kita berjumpa, banyak perbincangan itu adalah bersifat G2G, iaitu antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri," katanya, seperti dilapor Bernama

Khabar angin penyertaan PAS itu timbul pada Oktober tahun lepas namun dinafikan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Sementara itu, Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata isu berkaitan penyasaran subsidi diesel antara perkara yang dibincangkan dalam pramesyuarat bagi persidangan Dewan Rakyat Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 yang bermula hari ini hingga 18 Julai.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata selain isu itu, mesyuarat yang diadakan petang semalam di Seri Perdana turut membincangkan beberapa perkara berkaitan rang undang-undang (RUU) yang akan dibahaskan semasa sidang Parlimen.

"Ini mesyuarat yang biasa untuk setiap sidang Parlimen. Sudah tentu diberikan taklimat berkenaan isu-isu semasa, beberapa perbentangan RUU.

"Yang paling penting adalah penyasaran subsidi diesel, diberikan penerangan dan sebagainya kepada ahli-ahli Parlimen supaya mereka bersedia dalam perbahasan nanti di Parlimen dan juga apa agenda perundangan kita termasuklah beberapa pindaan undang-undang dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Program Pendidikan Kepimpinan Politik Anjuran Wanita DAP di Putrajaya, semalam.

Beberapa Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan turut hadir pada pramesyuarat itu yang dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bermula 4 petang tadi.

Antara ahli Parlimen yang kelihatan hadir ialah Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Abdul Ghani dan Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS