Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Jumlah rumah rosak akibat dua kejadian ribut yang melanda Perlis semalam dan Jumaat lepas meningkat kepada 107 rumah, menurut rekod Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) setakat 8.18 malam tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Maips Mohd Nazim Mohd Noor berkata berdasarkan angka yang dikemas kini pihaknya dari semasa ke semasa sebanyak 96 rumah rosak akibat ribut semalam, manakala 11 rumah lagi rosak dalam kejadian Jumaat lepas.

Mohd Nazim berkata kebanyakan rumah tersebut rosak pada bahagian bumbung akibat diterbangkan angin kencang dalam kejadian ribut itu.

Menurutnya, antara kawasan terjejas akibat ribut semalam ialah kariah Behor Mentaloon, Bunga Emas, Chemumar, Guar Syed Alwi, Mata Air, Orang, Kurung Batang, Sungai Baru, Kampung Belukar, Seberang Tok Pi dan Simpang Salang

“Maips akan bekerjasama dengan beberapa agensi kerajaan negeri termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis untuk turun ke lapangan bagi mengenal pasti keperluan dan agihan bantuan agar ia dapat disalurkan secepat mungkin, insya-Allah," katanya kepada Bernama malam tadi.

Difahamkan kejadian ribut semalam berlaku kira-kira pada pukul dua pagi, manakala Jumaat lepas berlaku kira-kira pukul tujuh pagi.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS