Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada pusat mengundi awal dibuka di Sg Bakap 2 Julai ini
Diterbitkan:  Jun 23, 2024 1:18 PM
Dikemaskini: 6:11 AM

PRK SG BAKAP | Tiada pusat mengundi awal akan dibuka pada hari pengundian awal 2 Julai ini.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Sungai Bakap Khairulnizam Hashim yang mengesahkan perkara itu berkata, hal itu kerana kesemua 57 anggota polis yang mengundi awal pada PRK itu akan menggunakan undi pos.

“Betul, tiada pengundian awal... semua telah memohon untuk mengundi secara pos,” katanya secara ringkas kepada Bernama menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.

Dia berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengeluarkan kertas undi pos kepada semua yang terlibat esok dan kertas itu boleh diambil oleh pegawai yang bertanggungjawab pada jam 2.30 petang.

SPR sebelum ini menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini, manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 22 Jun dan 2 Julai.

Berdasarkan Daftar Pemilih Pilihan Raya setakat 24 Mei, seramai 39,279 orang layak menunaikan tanggungjawab masing-masing pada PRK itu, membabitkan 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

PRK DUN Sungai Bakap yang menyaksikan pertembungan di antara calon PH, Joohari Ariffin, dan Abidin Ismail (PN). Ia diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS