Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Harga diesel: Rayuan sektor pengangkutan tertentu sedang diselaras
Diterbitkan:  Jun 23, 2024 12:02 PM
Dikemaskini: 4:02 AM

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang menyelaraskan rayuan sektor pengangkutan tertentu yang ingin menyertai Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) sebelum dibawa kepada jawatankuasa rayuan yang melibatkan pelbagai kementerian dan agensi.

Menterinya Armizan Mohd Ali berkata perkara itu seterusnya akan diangkat untuk pertimbangan mesyuarat jemaah menteri.

Armizan berkata permohonan lengkap SKDS yang meliputi 33 jenis pengangkutan darat awam dan barangan akan diberikan kelulusan serta-merta.

“Permohonan boleh dibuat melalui pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my/ manakala surat kelulusan akan dikeluarkan serta-merta untuk membolehkan syarikat pengangkutan yang berjaya terus membuat permohonan kad fleet kepada syarikat minyak pilihan melalui sistem yang sama.

“Proses permohonan adalah mudah dan cepat kerana syarikat hanya perlu mengisi maklumat terhad sebelum pengesahan boleh dibuat segera melalui integrasi dengan sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya dalam kenyataan di Putrajaya hari ini.

Armizan berkata syarikat yang tersenarai dalam 33 jenis pengangkutan darat awam dan barangan yang berkelayakan disaran membuat permohonan segera.

“Kelulusan yang diperolehi sehingga 30 Jun tahun ini membolehkan syarikat pengangkutan memohon bayaran tuntutan balik kadar perbelanjaan atas harga subsidi melalui bukti resit pembelian sehingga syarikat pengangkutan menerima fleet card daripada syarikat minyak pilihan,” katanya.

Selaras dengan kenyataan Kementerian Kewangan (MOF) pada 12 Jun, bayaran tuntutan balik akan dilaksanakan bermula Julai ini untuk mereka yang mendaftar dan mendapat kelulusan SKDS sehingga 30 Jun.

Prosedur permohonan tuntutan dan tatacara pembayaran balik akan dimaklumkan oleh MOF dalam masa terdekat.

Armizan berkata sekiranya berlaku penyalahgunaan kad fleet oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, KPDN tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuk menarik balik kelulusannya.

Dia berkata KPDN juga menegaskan agar semua peniaga terutama kepada mereka yang menerima kemudahan subsidi diesel melalui kad fleet tidak menaikkan harga dengan memberikan alasan penetapan harga diesel baru sebagai punca kenaikan harga barangan atau perkhidmatan mereka.

Setakat 8 pagi hari ini, jumlah keseluruhan kenderaan pengangkutan awam dan barangan yang diluluskan subsidi diesel di bawah SKDS ialah sebanyak 226,957 melibatkan 75,541 syarikat.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS