Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pilihan raya bukan tempat tentukan akidah pengundi'
Diterbitkan:  Jun 23, 2024 9:15 AM
Dikemaskini: 1:15 AM

PRK SG BAKAP | Pilihan raya bukan tempat menentukan akidah pengundi, sebaliknya harus menjadi medan untuk parti politik menerangkan rancangan dan agenda yang diatur buat rakyat sekiranya memenangi kerusi terbabit.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata jika ada pihak bertindak mengaitkan pilihan raya dengan akidah, mereka tidak sepatutnya disokong dalam mana-mana kempen.

”Kempen pilihan raya bermaksud kedua-dua pihak yang berlawan bercerita (berkongsi) tentang dasar, rancangan, agenda mereka apabila mendapat kuasa memerintah dan bagaimana usaha untuk menolong rakyat.

“Pilihan raya bukan tempat untuk kita katakan bahawa ‘pilih kami maka hang (kamu) orang Islam dan jika tidak pilih kami, hang bukan saudara kami lagi’. (Macam) Itu tidak boleh.

"Ini bukan urusan menentukan akidah pemilih tetapi adalah soal untuk menguruskan negara,” katanya.

Saifuddin berkata demikian ketika berucap pada program ceramah perpaduan yang julung kali diadakan sempena PRK Sungai Bakap di Taman Widuri, Sungai Jawi Nibong Tebal malam tadi.

Turut hadir Presiden Amanah Mohamad Sabu, Pengarah Strategik Amanah Dzulkefly Ahmad, Ahli Majlis Tertinggi Umno Zambry Abd Kadir dan calon PH Joohari Ariffin.

Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri turut berkata dalam PRK kali ini masyarakat di Sungai Bakap bertuah kerana ditawarkan seorang calon yang mempunyai kelulusan ‘mengaji’ (akademik) yang cemerlang.

“Nak jadi pemimpin negeri, kena ada sifat pemimpin yang kuat dan amanah, jadi sebaiknya angkat beliau (Joohari) untuk jadi wakil rakyat di sini (Sungai Bakap).

“… insya-Allah banyak kelebihan kalau orang Sungai Bakap memilih calon kerajaan perpaduan kerana di peringkat kerajaan negeri, ramai exco boleh bantu pelbagai urusan, begitu juga di peringkat Persekutuan,” katanya.

Sementara itu, Mohamad meminta agar ‘rakan-rakan lama’ dari BN menyokong Joohari untuk memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.

“Saya dulu bersama BN. BN kerja kuat, kalau semua undi calon kita dalam kerajaan perpaduan, kita yakin boleh menang walaupun terdapat banyak isu perkauman dimainkan oleh pihak lawan,” katanya.

PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Joohari dengan Abidin Ismail (PN).

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS