Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kelayakan akademik calon tetap penting, kata Fahmi
Diterbitkan:  Jun 22, 2024 9:46 PM
Dikemaskini: 1:46 PM

PRK SG BAKAP | Menidakkan kelayakan akademik dalam politik ibarat tidak menitikberatkan ilmu, dan seseorang calon pilihan raya perlu menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat dalam mengangkat atau memartabatkan ilmu.

Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata kelayakan akademik merupakan aspek penting untuk calon yang bertanding dalam sesuatu pilihan raya kerana ia boleh dianggap sebagai ‘jambatan’ yang akan menentukan masa depan lebih baik untuk rakyat diwakili.

“Menjadi pemimpin (calon pilihan raya) bermaksud kita sering kali dibandingkan atau menjadi contoh dalam komuniti.

“Maka seharusnya jadilah contoh dan pendidik yang baik kepada masyarakat,” katanya kepada pemberita di Taman Tasek Indah, Simpang Ampat di Nibong Tebal hari ini.

Sebelum itu Fahmi menyantuni pesakit angin ahmar Wan Khairul Afiznaz Wan Ishak, 45, sempena program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (Jiwa) Komuniti Madani.

Fahmi berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengarah Pilihan Raya PN Muhammad Sanusi Md Nor siang tadi yang menekankan bahawa kelulusan akademik bukanlah kayu pengukur kepada kecemerlangan pemimpin politik.

Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah membuat kenyataan itu pada sidang media selepas proses penamaan calon di Dewan Serbaguna Jawi, dekat Nibong Tebal pagi tadi.

Hal itu susulan isu calon PN, Abidin Ismail, yang didakwa hanya memiliki sijil ISO 14001 bagi Sistem Pengurusan Alam Sekitar berbanding lawannya dari PH, Joohari Ariffin, yang merupakan pemegang ijazah doktor falsafah (PhD).

“Saya lihat ramai netizen bertanyakan tentang kelayakan ISO (calon PN) ini malah ada yang bertanya tempat kerja beliau, tetapi bagi saya kita nak tahu idea-idea yang ingin diutarakan beliau untuk penduduk Sungai Bakap,” kata Fahmi.

Muhammad Sanusi Md Nor

PRK DUN Sungai Bakap yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Joohari dan Abidin diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Sementara itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi meminta Komuniti Madani supaya mempertimbangkan pelaksanaan program saringan kesihatan di setiap DUN agar lebih ramai anggota masyarakat dapat mengesan penyakit serius pada peringkat awal.

Mengambil contoh Pulau Pinang, Fahmi berkata terdapat 120 Komuniti Madani di negeri itu setakat ini, justeru kewujudannya perlu dimanfaatkan untuk menyebarluaskan kesedaran mengenai kepentingan menjaga kesihatan.

“Saya minta supaya Komuniti Madani mempertimbangkan program saringan kesihatan yang ringkas dan mudah, bukan berskala besar tapi mungkin melibatkan pengamal perubatan am, doktor, sukarelawan untuk memberi khidmat nasihat asas dalam komuniti,” katanya.

Komuniti Madani diwujudkan sebagai badan sukarela pelbagai kaum yang ditadbir urus oleh Jabatan Penerangan Malaysia untuk memupuk nilai-nilai murni dan kenegaraan dalam kalangan rakyat.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS