Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno N Sembilan sedia hantar jentera ke Sungai Bakap

Umno Negeri Sembilan bersedia untuk menggerakkan jenteranya bagi membantu calon Kerajaan Perpaduan Dr Joohari Ariffin meraih kemenangan sekaligus merampas semula kerusi DUN Sungai Bakap pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang bermula hari ini.

Pengerusi Umno Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata walaupun tidak diberi tugasan khusus menjaga DUN Sungai Bakap, pihaknya telah menyusun atur gerak kerja untuk memberi sebarang bentuk bantuan yang diperlukan sepanjang tempoh berkempen yang berlangsung selama 14 hari.

“Paling utama adalah memastikan lebih 5,800 ahli Umno (di Sungai Bakap) keluar untuk memberikan sokongan kepada calon PKR dan kita sendiri sedang susun gerak kerja dan akan masuk ke sana bermula minggu hadapan.

“Biarpun tiada wakil Umno yang bertanding, sebagai rakan dalam Kerajaan Perpaduan, saya mengambil tanggungjawab membantu dan memastikan calon PKR ini boleh menang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Puteri Umno Bahagian Jasin 2024 hari ini.

Jalaluddin berkata jentera Umno Negeri Sembilan akan menghulurkan bantuan yang sama seperti dilakukan di PRK sebelum ini termasuk di PRK Kuala Kubu Baru dengan melibatkan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH Joohari dan calon PN Abidin Ismail.

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi bagi PRK berkenaan pada 6 Julai, manakala pengundian awal pada 2 Julai.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS