Pemuda Umno Malaysia menyoal kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai ekonomi Malaysia akan terjejas jika kerajaan memutuskan hubungan ke atas semua syarikat berkaitan Israel yang beroperasi di luar negara.
Ketua Pemudanya Akmal Saleh membangkitkan isu kontroversi Global Infrastructure Partners (GIP) konsortium yang mengumumkan tawaran bagi mengambil alih Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
"Kita ada banyak lagi syarikat di luar sana yang ada kepakaran, yang boleh MAHB minta bantuan.
"Saya tak rasa bahawa kalau tiada Blackrock ini, MAHB akan hilang, akan bankrap," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Exco Pemuda Umno Malaysia di Menara PWTC, Kuala Lumpur, hari ini.
"Sebab itu kita mohon kerajaan untuk mempertimbangkan semula. Kalau boleh u-turn penjualan ini, u-turnlah sebab dalam isu kita kena tegas dan terus bersolidariti bersama rakyat Palestin," tegas Akmal.
Justeru, katanya, Pemuda Umno Malaysia membantah penjualan 30 peratus saham tersebut dan menggesa agar kerajaan menghentikan usaha tersebut.
Tambahnya, hal ini sangat bertentangan dengan pendirian Malaysia yang paling hadapan dalam menyatakan solidariti kepada genosid yang berlaku di Palestin.
"Pemuda Umno Malaysia membantah sekeras-kerasnya penjualan saham 30 peratus kepada syarikat yang mempunyai kaitan dengan Israel, iaitu Blackrock melalui GIP.
‘Dedah aset berkepentingan awam’
"Hakikatnya, hari ini GIP adalah milik Blackrock yang kita tahu secara terang-terangan menyokong kegiatan genosid yang berlaku di bumi Palestin.
"Penjualan secara langsung ini akan mendedahkan aset berkepentingan nasional dan awam kepada pihak yang rapat dan mempunyai simpati kepada agenda zionis.
"Kita menyokong penuh tindakan kerajaan yang telah menyatakan sokongan yang keras, tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin tetapi kita minta solidariti bukan hanya di peringkat antarabangsa, ia harus dibuktikan di dalam negara kita sendiri," katanya lagi.
Menurut Akmal lagi, langkah kerajaan PH ketika era perdana menteri Mahathir Mohamad yang membatalkan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dan memansuhkan cukai GST juga memberi kesan kepada ekonomi negara.
Terdahulu, Anwar mengingatkan semua pihak khususnya pembangkang supaya tidak menjadikan isu penyertaan syarikat BlackRock dalam penstrukturan semula kepentingan MAHB sebagai ‘wayang politik’.
Katanya mana-mana pihak berhak untuk tidak bersetuju dengan kerajaan namun pada masa sama tidak boleh menafikan usaha kerajaan di dalam menyuarakan isu di Gaza.
“Jangan guna isu ini (BlackRock), kerana isu ini (serangan di Gaza) seharusnya menyatukan kita... siapa yang izinkan syarikat Israel beroperasi di sini dulu?” katanya.
Perdana menteri berkata kerajaan mengambil pendirian tegas untuk membatalkan kerjasama dengan semua syarikat yang membuka operasinya di Israel.
“Syarikat yang ada operasi di Amerika, Jerman, China, tapi ada kaitan dengan Israel, tiada upaya kita dalam keadaan sekarang membatalkannya kerana akan menjejaskan ekonomi negara.
“Jadi sementara saya akan keras memperjuangkan dan membela nasib rakyat Palestin khususnya di Gaza berdepan dengan siapa sahaja, tapi saya tidak mahu melemahkan kekuatan ekonomi negara.
“Kalau syarikat itu dari Israel, saya tetap tegas,” kata Anwar.
Global Infrastructure Partners (GIP) pada awal hari ini dilaporkan menegaskan BlackRock Inc tidak pernah sama sekali terlibat dalam sebarang transaksi berhubung penstrukturan semula kepentingan dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) melalui Gateway Development Alliance (GDA).
Ketua Bahagian Pengangkutan di GIP dan Pengarah GDA Phil Iley berkata seperti yang diumumkan pada Januari lepas, GIP akan diambil alih oleh BlackRock dengan transaksi tersebut dijangka akan dimuktamadkan pada suku ketiga 2024.
Dia berkata BlackRock mengiktiraf kepakaran GIP dalam pelaburan berkaitan infrastruktur.
“Selepas transaksi ini dimuktamadkan, pihak pengurusan sedia ada GIP akan mengekalkan kawalan penuh dan tanggungjawab bagi hala tuju strategik dan operasi GIP serta syarikat-syarikat di bawah pelaburan kami,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Bernama.
GIP pelabur infrastruktur terkemuka yang menguruskan aset bernilai AS$112 bilion (RM527.5 bilion) bagi pihak pelaburnya, yang terdiri daripada kira-kira 500 institusi pelaburan di seluruh dunia.
GIP sebelum ini dikaitkan dengan syarikat pelaburan multinasional Blackrock yang memiliki pegangan dalam lima syarikat pembekal senjata kepada Israel.
Pada 15 Mei lalu, Khazanah mengumumkan ia kini menerajui sebuah konsortium, Gateway Development Alliance (GDA), bagi tawaran sukarela prasyarat untuk membeli semua saham MAHB yang belum dimilikinya, dengan harga tawaran RM1 seunit.
Pemegang saham konsortium itu turut merangkumi usaha sama antara Abu Dhabi Investment Authority (Adia) dan GIP - menerusi GIP Aurea Pte Ltd.
Susulan itu, beberapa pihak menyuarakan bantahan serta kebimbangan ke atas cadangan penjualan 30 peratus saham MAHB kepada GIP yang juga subsidiari syarikat Blackrock.