Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DUN Selat Kelang: Azmin hantar notis kekosongan luar jangka kepada speaker
Diterbitkan:  Jun 21, 2024 4:54 PM
Dikemaskini: 9:11 AM

Ketua Pembangkang Selangor Azmin Ali hari ini menyerahkan notis kekosongan luar jangka kerusi dewan negeri Selat Kelang kepada speaker DUN Selangor Lau Weng Sang.

“Notis itu dihantar menurut Perkara LXVA Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 berkenaan kekosongan luar jangka.

“Ia menyebut apabila speaker menerima notis bertulis mengenai berlakunya kekosongan luar jangka daripada mana-mana ahli dewan, speaker hendaklah memastikan berlakunya kekosongan luar jangka itu dan memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sewajarnya dalam tempoh 21 hari dari tarikh dia menerima notis itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 6 Mac lalu, Adun Selat Klang, Abdul Rashid Asari mengikrarkan sokongannya kepada Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Sebelum itu, enam Ahli Parlimen Bersatu menyuarakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Mereka adalah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), dan  Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Pada 12 Jun lalu, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin mengeluarkan notis terhenti kepada wakil rakyat yang berpaling tadah itu dengan alasan melanggar Perkara 10.4 perlembagaan parti.

Atas alasan sama, Azmin berkata Rashid bukan lagi ahli Bersatu, yang seterusnya mencetuskan kekosongan buat  kerusi Selat Klang.

Dia berkata, bahawa Rashid telah dimaklumkan bahawa keahliannya telah dibatalkan dalam surat yang dihantar pada 12 Jun - mengikut fasal 10.4 perlembagaan Bersatu kerana tidak mengendahkan arahan parti yang dikeluarkan pada 17 Mei.

“Saya juga ingin menarik perhatian speaker kepada Akta Pertubuhan 1966, yang menegaskan bahawa keputusan sesuatu parti tentang tafsiran perlembagaan, kaedah-kaedah dan peraturan-peraturan parti adalah muktamad.

“Justeru, saya memohon speaker dewan membuat pemastian bahawa telah berlaku kekosongan luar jangka untuk kerusi Selat Kelang,” katanya yang juga adalah Adun Hulu Kelang.

Azmin juga mengingatkan Lau supaya mematuhi dan menunaikan sumpah jawatan jawatan beliau sebagai speaker untuk melindungi dan memelihara perlembagaan negeri Selangor.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS