Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM ingatkan semua, khususnya PN tak jadikan isu BlackRock wayang politik
Diterbitkan:  Jun 21, 2024 4:35 PM
Dikemaskini: 8:35 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak khususnya pembangkang supaya tidak menjadikan isu penyertaan syarikat BlackRock dalam penstrukturan semula kepentingan Malaysia Airport Holding Bhd (MAHB) sebagai ‘wayang politik’.

Beliau berkata mana-mana pihak berhak untuk tidak bersetuju dengan kerajaan, namun pada masa  sama tidak boleh menafikan usaha kerajaan di dalam menyuarakan isu di Gaza.

“Jangan guna isu ini (BlackRock), kerana isu ini (serangan di Gaza) seharusnya menyatukan kita... siapa yang izinkan syarikat Israel beroperasi di sini dulu?” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Tun Abdul Aziz di Petaling Jaya, hari ini.

Perdana Menteri berkata kerajaan mengambil pendirian tegas untuk membatalkan kerjasama dengan semua syarikat yang membuka operasinya di Israel. 

Bagaimanapun beliau berkata tindakan sama tidak boleh diambil bagi syarikat-syarikat berkaitan Israel yang beroperasi di negara lain buat masa ini bagi memastikan ekonomi negara tidak terjejas.

“Syarikat yang ada operasi di Amerika, Jerman, China, tapi ada kaitan dengan Israel, tiada upaya kita dalam keadaan sekarang membatalkannya kerana akan menjejaskan ekonomi negara.

“Jadi sementara saya akan keras memperjuangkan dan membela nasib rakyat Palestin khususnya di Gaza berdepan dengan siapa sahaja, tapi saya tidak mahu melemahkan kekuatan ekonomi negara. Kalau syarikat itu dari israel, saya tetap tegas,” katanya.

Pembangkang ketika ini mendakwa BlackRock sebuah firma dikatakan mempunyai kaitan dengan Israel memiliki pegangan dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS