Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KPDN Johor rampas 28 tong gas LPG dari kedai dobi
Diterbitkan:  Jun 21, 2024 9:45 AM
Dikemaskini: 1:45 AM

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor merampas 28 tong gas petroleum cecair (LPG) dari sebuah premis dobi di Taman Ekoperniagaan, Johor Bahru, kerana disyaki menyimpan barang kawalan berjadual tanpa permit.

Pengarah KPDN Johor Lilis Saslinda Pornomo berkata rampasan berkenaan dilakukan pihaknya melalui satu operasi yang dilakukan pada 12 tengah hari setelah menerima aduan daripada orang ramai.

Katanya setelah siasatan dilakukan, premis terbabit gagal mengemukakan permit menyimpan barang kawalan berjadual LPG apabila diminta oleh anggota penguat kuasa KPDN.

“Satu tindakan kes telah dikenakan ke atas premis tersebut kerana disyaki melakukan kesalahan memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual LPG tanpa kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa.

“Sebanyak 28 tong gas LPG dan beberapa dokumen perniagaan turut disita bagi membantu siasatan.

"Siasatan lanjut juga akan dilakukan ke atas syarikat pemborong barang kawalan LPG kerana kesalahan menjual barang kawalan kepada orang yang tidak mempunyai permit barang kawalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Lilis Saslinda kes itu disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 yang jika sabit kesalahan boleh didenda hingga RM1 juta atau penjara 3 tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama, manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua–duanya sekali.

Katanya, bagi pertubuhan atau perbadanan denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS