Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda Umno sedia gerak 5,000 ahli bantu kempen di Sg Bakap

Pemuda Umno Malaysia sedia menggerakkan lebih 5,000 ahli dan pengundi mereka bagi membantu kempen jentera kerajaan perpaduan Pilihan Raya Kecik (PRK) Sungai Bakap yang akan bermula dengan penamaan calon, esok.

Ketua Pemudanya, Akmal Saleh berkata pihaknya sudah pun berbincang dengan jentera kerajaan negeri untuk pertemuan bersama pengundi-pengundi mereka.

"Kita dah minta ketua pemuda Umno negeri Pulau Pinang untuk bekerjasama dengan jentera kerajaan perpaduan di sana. Terutama untuk perjumpaan secara tertutup dengan pengundi dan ahli Umno di situ.

"Kita ada dekat 5,000 ahli Umno di Sg Bakap. Jadi, insyaallah kita akan bantu calon kerajaan perpaduan," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Exco Pemuda Umno Malaysia di Menara PWTC, Kuala Lumpur, hari ini.

Ketika ditanya adakah pemuda MCA akan turut bersama dalam kempen di PRK Sg Bakap, Akmal menjawab perkara itu akan dimaklumkan kemudian selepas mesyuarat malam nanti.

"Bagi saya mesyuarat dulu, apa feedback mereka (MCA) dan saya akan beritahu. Tapi, kita kena bergerak (sebagai) satu pasukan," katanya.

Sementara itu, Akmal tidak menolak hasrat pemuda Umno untuk meletakkan calon sekiranya mahkamah mengesahkan kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dan berlakunya pilihan raya kecil.

"Kita tunggu keputusan mahkamah tapi sudah tentu kita nak letak calon semua tempat orang muda kalau boleh.

"Tapi jika DUN Nenggiri itu ada kekosongan, mahkamah menentukan ada kekosongan, sudah tentulah kita akan berbincang (mengenai calon)," katanya lagi.

Pada 19 Jun lalu, Speaker DUN Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kekosongan kerusi tersebut susulan notis bertulis yang dihantar Bersatu pada 12 Jun dan Adun Nenggiri Mohd Azizi Abu Naim pada 13 Jun yang memaklumkan hilang keahlian Bersatu dan seterusnya menyebabkan berlaku kekosongan luar jangka pada kerusi berkenaan.

Mohd Ammar berkata keputusan itu selaras dengan Undang-Undang Tubuh negeri Kelantan.

Namun menurut Mohd Azizi, dia telah menjangkakan situasi terbabit dan akan membawa kes tersebut ke mahkamah.

"Saya tidak terkejut kerana saya sudah jangka pengumuman seperti hari ini akan berlaku. Bagaimanapun saya tidak mahu mengulas lanjut dan akan membawa kes ini ke mahkamah.

"Esok saya akan mengadakan perbincangan dengan peguam berhubung keputusan yang dibuat oleh Kelantan," katanya yang dipetik oleh Harian Metro.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS