Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AI cakap loghat Kedah, Sanusi kata 'lain macam'
Diterbitkan:  Jun 20, 2024 9:00 PM
Dikemaskini: 1:00 PM

Pelantar chatbot kecerdasan buatan (AI), ChatGPT menarik perhatian warga maya apabila menjawab soalan menggunakan loghat Kedah.

Ia turut menarik perhatian Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang berkongsi tangkap layar berkenaan di Facebooknya.

Menerusi hantaran tersebut, beberapa gambar tangkap layar menunjukkan ChatGPT menjawab beberapa pertanyaan dengan menggunakan perkataan 'Hang' (awak) dan 'Pasai' (pasal).

"Lain macam...," kata Sanusi di Facebooknya.

Malah, ketika ditanya adakah ia memahami loghat Kedah, ChatGPT kemudian menjawab; "Faham, boleh sembang dalam bahasa Kedah sikit-sikit. Hang nak tau pasai apa lagi pasai Kedah?" jawab program itu.

Dalam perbualan itu, ChatGPT turut menjawab soalan mengenai lokasi kedai makan yang sedap di Kedah, yang mana program AI itu menyenaraikan beberapa kedai makan dan restoran menarik beserta penerangan ringkas dalam loghat Kedah.

Sanusi yang juga Adun Jeneri itu sempat menjawab komen pengikutnya yang berkongsi tangkap layar ChatGPT mengatakan dirinya sebagai seorang yang 'terkenal dengan gaya tegas dan berterus-terang' serta suka membuat kenyataan kontroversi.

"Tanya AI dia nak pi makan tang (di) mana… hahahaha," balas Sanusi pada komen tersebut.

ChatGPT adalah chatbot kecerdasan buatan yang dibangunkan oleh OpenAI pada 2022 menggunakan pemprosesan bahasa semulajadi untuk mencipta dialog percakapan yang menyerupai manusia.

Model AI bahasa ini berkemampuan menjawab soalan dan menghasilkan pelbagai jenis kandungan bertulis, termasuk artikel, esei, hantaran media dan emel.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS