Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lembaga pengarah SRC tak jumpa Najib kerana 'protokol tertentu' - saksi

Seorang bekas pengarah syarikat SRC International Sdn Bhd berkata bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat itu, Nik Faisal Ariff Kamil mungkin memberi maklumat salah kepada lembaga pengarah syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) itu.

Suboh Md Yassin bagaimanapun memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa lembaga pengarah tidak cuba bertemu secara langsung dengan Najib Razak yang merupakan perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu untuk berbincang mengenainya, kerana 'protokol tertentu'.

Bekas pengarah SRC itu menjawab peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee semasa perbicaraan tengah hari ini mengenai tuntutan mahkamah AS$1.18 bilion syarikat itu terhadap Najib, yang juga pernah menjadi penasihat emeritus SRC.

Suboh bersetuju dengan Farhan bahawa adalah tidak mustahil Nik Faisal - yang kini dalam perlarian dan diburu pihak berkuasa Malaysia untuk membantu siasatan jenayah berkaitan - yang merupakan CEO ketika itu mungkin telah memberi maklumat salah kepada lembaga pengarah SRC.

Farhan: Nik Faisal didapati berbohong, adakah ini tidak mencetuskan lembaga untuk berhubung lebih langsung dengan defendan pertama (Najib) untuk mengesahkan arahan yang didakwaa diberikan kepada mereka?

Suboh: Ada protokol tertentu yang perlu dipatuhi, defendan pertama mempunyai tugas tertentu, itu situasi yang kami hadapi.

Farhan: Jadi ia diuruskan secara dalaman ketika itu?

Suboh: Ya.

Farhan: Walaupun begitu, patutkah lembaga itu cuba menghubungi defendan pertama?

Suboh: Kalau difikirkan balik, ya.

Bagaimanapun, Suboh tidak menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan 'protokol tertentu'.

Suboh juga mengakui bahawa urusannya sebelum ini dengan Nik Faisal menunjukkan bahawa Nik Faisal sudah dikenali dengan tindakan menyembunyikan isu tertentu daripada lembaga pengarah.

Suboh merujuk kepada isu SRC gagal memfailkan penyata kewangannya bagi tahun berakhir 2013.

Semalam, Suboh memberi keterangan bahawa Nik Faisal adalah proksi Najib dan bekas perdana menteri itu dirujuk sebagai 'bos' dan 'pihak atas'. Suboh berkata lembaga pengarah SRC tidak mempunyai hubungan langsung dengan perdana menteri ketika itu.

Najib melantik Suboh sebagai pengarah SRC pada 1 Ogos 2011, dan pelantikan itu berlangsung sehingga 4 Mac 2019.

Dalam saman sivil yang dipengerusikan oleh hakim Ahmad Fairuz Zainol Abidin, Suboh memberi keterangan bagi pihak plaintif SRC terhadap defendan Najib.

Suboh juga memberikan keterangan lisan atas kapasiti pihak ketiga yang dibawa ke dalam tuntutan mahkamah oleh Najib untuk membayar balik sepenuhnya atau sebahagian kepada bekas perdana menteri itu sekiranya SRC memenangi tindakan mahkamah.

Dia juga merupakan saksi pendakwaan dalam perbicaraan jenayah berasingan terhadap Najib yang dikaitkan dengan RM42 juta dana SRC, yang membawa kepada sabitan bekas perdana menteri. Najib sedang menjalani hukuman penjara enam tahun dan didenda RM50 juta.

Di bawah pengurusan barunya, SRC memfailkan tuntutan mahkamah pada Mei 2021, mendakwa Najib, sebagai penasihat emeritus plaintif, telah melakukan pecah amanah dan salah guna kuasa, dan secara peribadi mendapat manfaat daripada dana syarikat, serta menyeleweng berbilion ringgit.

SRC juga memohon perisytiharan mahkamah bahawa defendan bertanggungjawab ke atas kerugiannya akibat pecah tugas dan amanah yang dikatakan, dan meminta Najib membayar balik RM42 juta.

Plaintif juga sedang memohon perintah mahkamah supaya Najib bertanggungjawab terhadap kerugian AS$1.18 bilion, serta membayar balik AS$120 juta dana yang didakwa mengalir ke dalam akaun bank bekas menteri kewangan itu.

Tindakan sivil terhadap Najib dikaitkan dengan dakwaan penyelewengan sebahagian daripada RM4 bilion - RM3.6 bilion atau AS$1.18 bilion dalam kadar pertukaran asing antara 2011 dan 2012 - dalam pinjaman yang diterima syarikat daripada Kumpulan Wang Persaraan (Kwap) antara 2011 dan 2012.

Kwap ialah badan berkanun di bawah Kementerian Kewangan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS