Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lokman Adam lobi supaya Umno terima semula Tajuddin 
Diterbitkan:  Jun 20, 2024 12:28 PM
Dikemaskini: 5:03 AM

Umno terbuka untuk menerima kembali anggota ataupun pemimpin yang setia walaupun digantung, kata anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu, Lokman Noor Adam.

Jelasnya pemimpin yang setia seperti bekas ahli MKT, Tajuddin Abdul Rahman wajar dipertimbangkan rayuannya.

"Kita sentiasa terbuka untuk terima dan pertimbang daripada mana-mana individu yang ikhlas setia nak bersama dengan Umno,” katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, tanpa menyebut nama, kata Lokman, dia menolak pemimpin tersingkir yang terus “mencaci dan memaki hamun” parti dari luar.

Lokman Noor Adam

Terdahulu lobi sama dibuat oleh rakan sejawatan Lokman, Jalaludin Alias serta bekas anggota MKT Armand Azha Abu Hanifah, yang rapat dengan bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob.

Tajuddin telah menghantar empat kali rayuan untuk kembali menyertai Umno, bagaimanapun tiada jawapan balas.

Tajuddin digantung enam tahun bermula September 2022, dua bulan selepas disingkir dari MKT kerana menyifatkan  Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebagai beban buat parti.

Bekas anggota parlimen Pasir Salak itu bagaimanapun dilaporkan telah memohon maaf kepada Zahid yang juga timbalan perdana menteri.

Umno mesyuarat malam ini

Malam ini mesyuarat MKT Umno akan berlangsung di Kuala Lumpur, namun tidak pasti sama ada agenda itu akan dibincangkan ataupun tidak.

Sementara itu, Lokman berkata adalah penting untuk Umno menilai kembali penyertaan mereka yang terus setia dengan parti.

"Jangan anggap benda ini bukan penting untuk dibincang, perkara ini penting dibincangkan khususnya bagi orang macam Tajuddin.

"Dia pernah beberapa kali nyatakan hasrat nak mati dalam Umno," katanya lagi.

Selain Tajuddin, antara pemimpin Umno yang digantung keanggotaannya ialah Anggota Parlimen Sembrong  Hishamuddin Hussein dan bekas ketua penerangan Shahril Sufian Hamdan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS