Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rakyat Malaysia maut ketika bersihkan kapal di Singapura

Seorang warga Malaysia berusia 22 tahun maut dalam kemalangan di tempat kerja semasa melakukan kerja-kerja pembersihan lambung kapal di Eastern Anchorage, Marina South Pier di Singapura, kelmarin.

Jurucakap Kementerian Tenaga Manusia (MOM) Singapura berkata dalam kemalangan yang berlaku kira-kira jam 2.10 petang itu, mangsa telah tersangkut pada salah satu kipas bot sokongan penyelam.

"Pekerja terbabit dibawa ke Hospital Besar Singapura dan dia meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami," kata jurucakap itu dalam satu kenyataan semalam.

MOM Singapura berkata pihaknya sedang menyiasat kejadian itu dan telah mengarahkan majikan terbabit untuk menghentikan semua aktiviti menyelam.

"Sebagai langkah keselamatan umum, prosedur menyelam komersial yang ditetapkan menggunakan surface-supplied diving equipment (SSDE) atau commercial self-contained underwater breathing apparatus (CSCUBA) mesti dipatuhi," kata jurucakap itu.

Menurut MOM Singapura peralatan dan alat sedemikian memudahkan koordinasi dan komunikasi antara penyelam dengan penyelia semasa operasi.

Peralatan selam skuba rekreasi tidak boleh digunakan untuk operasi menyelam komersial.

Sementara itu, CNA melaporkan polis Singapura sebagai berkata, berdasarkan siasatan awal tiada unsur jenayah disyaki dan siasatan sedang dijalankan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS