Sebelum meneliti isu-isu berkaitan boikot dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), saya ingin menjawab beberapa perkara yang dibangkitkan oleh P Gunasegaram dalam artikelnya, ‘Haruskah kawan-kawan Israel jadi musuh kita?’ yang diterbitkan di Malaysiakini pada 7 Jun.
Secara amnya, saya amat menghormati tulisan Gunasegaram dalam pelbagai isu nasional yang penting. Saya kecewa dengan pendapat yang membawa persepsi negatif terhadap perjuangan kemanusiaan utama dalam masa getir.
Daripada cadangan konstruktif tentang bagaimana kita boleh menyampaikan solidariti secara lebih berkesan, Gunasegaram mengulangi beberapa gagasan kurang tepat yang sentiasa dilontarkan kepada kempen boikot.
Pendapat beliau disimpulkan seperti berikut:
(1) Boikot merugikan kita (lebih daripada Israel), oleh kerana itu, kita harus hentikan kempen emosi ini;
(2) Biar bersikap munasabah, bukan semua kawan kepada Israel harus dilawan;
(3) Dengan logik ini, kita tidak harus menolak tawaran Blackrock yang bermanfaat hanya kerana syarikat tersebut membekal senjata kepada Israel.
Hujah-hujah ini menumpul pada kontradiksi kononnya antara kepentingan negara dan hasrat fanatik. Dengan lazim, orang condong kepada kesimpulan yang terjangka, iaitu “Amalan belas kasihan antarabangsa sebegini berniat murni, tetapi eloknya jangan merosakkan kepentingan negara”.
Saya percaya bukan niat asal Gunasegaram untuk menolak keprihatinan terhadap penderitaan Palestin. Namun hujah begitu mudah ditafsir seolah-olahnya bersetuju dengan sikap acuh tak acuh.
Mungkin tidak disedari, wacana beliau tentang Palestin malangnya mengekalkan prejudis perkauman yang terwujud dalam masyarakat. Ini sangat tidak sihat untuk keharmonian sosial.
Atas sebab itu, hujah-hujah ini mesti dijawab dengan betul dan rasional.
Mengapa boikot?
Pertama sekali, biar kita terangkan sebab-sebab boikot.
Orang biasanya sering menganggap para aktivis boikot adalah orang yang kurang “munasabah” kerana ingin memboikot apa sahaja barangan yang berkait dengan Israel, walau sedikit pun. Gambaran seperti ini sentiasa dipegang oleh mereka yang menolak kempen boikot.
Boikot selalunya dicirikan sebagai perbuatan yang didorong oleh emosi. Sebenarnya menyampaikan perasaan simpati sesama manusia adalah tindak balas yang sangat logika.
Menghulurkan bantuan untuk mengurangkan kesengsaraan orang lain bukan perkara yang luar biasa. Sering kali, kita juga mengorbankan kepentingan sendiri untuk kebajikan orang lain.
Pada hakikatnya, gerakan pro-Palestin tidak pernah menyamakan semua rakan Israel sebagai ‘musuh’. Di Malaysia, tindakan solidariti terutamanya ditujukan kepada satu negara khususnya. Ini kerana Amerika Syarikat bersubahat dalam perlakuan genosida Israel.
Walaupun begitu, tiada sebarang tuntutan diminta untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan AS.
Isu intinya adalah tragedi kemanusiaan dahsyat di Palestin tepat di depan mata kita. Israel tengah melancarkan serangan pembersihan etnik di Gaza dan AS menyelindunginya.
Sesungguhnya terdapat keperluan untuk menghentikannya dengan segera – dengan cara apa pun.
Menolak boikot umpamanya adalah alasan untuk tidak bertindak. Dalam masa kekejaman yang melampau, tidak bertindak bermaksud memihak pada kezaliman. Boikot merupakan manifestasi kesedaran kuasa konsumer.
Objektifnya adalah untuk mengubah tindakan yang dibuat oleh individu tunggal menjadi kekuatan kolektif. Jauh daripada bersikap impulsif, kempen boikot telah muncul sebagai gerakan global dengan perancangan dan strategi yang teratur.
Kejayaan dalam sejarah
Jangan lupa boikot antarabangsa telah menyumbang kepada kejayaan menjatuhkan sistem apartheid di Afrika Selatan.
Alasan yang menolak boikot yang menyokong Palestin masa kini tidak berbeza dengan hujahan mereka yang mempertikaikan keberkesanan boikot anti-apartheid sebelum ini. Tidak pelik sama sekali pembela-pembela rejim kulit putih zaman dulu adalah negara-negara sama yang mempertahankan Israel hari ini.
Sepanjang sejarah, boikot telah menjadi senjata kaum tertindas. Boikot besar-besaran yang dipimpin Mahatma Gandhi terhadap barang-barang Inggris menggembleng perjuangan ‘Ahimsa’ (tanpa kekerasan) untuk kemerdekaan India. Di Myanmar, Aung San Suu Kyi merayu sanksi antarabangsa untuk menamatkan kekuasaan militer.
Kini Gerakan Boikot, Divestasi dan Sanksi (BDS) mewarisi tradisi ini, dan ia terus berjuang menentang penjajahan haram di Palestin. Gerakan ini telah menjadi teras utama aktivisme solidariti Palestin di seluruh dunia. Kempen BDS merebak seperti api di kampus-kampus Amerika dan Eropah. Walaupun pihak berkuasa konservatif mengecam protes pelajar sebagai sangat naif dan sia-sia, kita harus memberi tabik hormat kepada semangat berani mereka.
Sepanjang masa orang-orang di Palestina dengan berani melawan penindasan zalim Zionis.
Bagi para pendukung di luar bumi Palestin, mungkin sumbangan yang paling bermakna dan berdampak adalah berkecimpung dalam kempen BDS.
Pergerakan BDS menggunakan strategi yang tersasar dan berhasil. Kempen ini tidak memaksa sesiapa untuk membuang telefon bimbit Apple, atau MacBook, atau berhenti terbang dengan Boeing. BDS memaklumkan pengguna untuk membuat pilihan etika teliti.
Seseorang cuma perlu buat usaha tambahan untuk mengesah dan menyemak produk dan memilih alternatif jika tersedia.
Di samping tindakan pengguna, sektor korporat juga harus terlibat dalam divestasi dan boikot. Demikian juga, pemerintah didesak untuk memperkenalkan dasar pelaburan berstrategi untuk memulaukan Israel. Tujuan utamanya adalah untuk membujuk orang untuk mengasingkan diri dari perusahaan pro-Israel dan beralih ke investasi alternatif.
Boikot jejaskan ekonomi?
Ramai yang berpendapat bahawa ekonomi Israel langsung tidak terganggu oleh tindakan boikot. Sebaliknya, boikot tidak berfaedah kepada ekonomi kita. Sebenarnya pandangan ini hanya hendak menyembunyikan sikap sinis di belakang baju patriotisme.
Kesimpulan sedemikian membuat andaian bahwa apabila firma tertentu terjejas, ia juga bermakna menjejaskan ekonomi keseluruhan. Dalam teori ekonomi, penaakulan begini dipanggil “falasi komposisi”. Ia menganggap bahwa apa yang benar untuk individu atau bahagian juga akan berlaku untuk seluruh kumpulan atau kesemua ekonomi. Ini adalah kesilapan logik biasa yang mengelirukan pemahaman orang tentang fenomena ekonomi.
Adakah seluruh ekonomi akan terancam bila mengalami perubahan pilihan pengguna?
Sekiranya majoriti dalam masyarakat beralih dari barangan tertentu ke barangan lain, pasaran hanya akan menyesuaikan diri untuk mengekalkan keuntungan berterusan.
Perusahaan tahu bagaimana untuk mengalihkan pelaburan mereka untuk memenuhi permintaan orang ramai. Ia perkara lazim dalam ekonomi pasaran.
Tidak seperti masa dulu, saat ini pengguna mengalami kesulitan yang sangat minimal kerana mempunyai pelbagai pilihan yang banyak. Jika seseorang ingin memboikot burger atau ayam goreng jenama Amerika, ada puluhan varietas tempatan untuk dipilih. Peralihan pilihan konsumer semestinya akan memberi kesan positif pada perniagaan lokal.
Kemerosotan francais antarabangsa juga bererti kurang aliran keluar tunai daripada ekonomi domestik. Dalam jangka masa panjang, kita memupuk budaya konsumer yang lebih sihat dan berorientasikan domestik.
Akhir sekali, boikot pada dasarnya adalah percaturan tawar-menawar. Sekiranya jenama antarabangsa ini menghargai pasaran kita, mereka mesti membuat keputusan yang tegas.
Perusahaan boleh kekal untung jikalau mereka mematuhi tuntutan etika dengan mengecam keganasan rejim Zionis atau menarik diri dari wilayah taklukan haram.
Malaysia mempunyai pasaran hampir 30 juta penduduk, berbanding 10 juta di Israel. Saiz pasaran negara-negara lain yang bukan ‘kawan’ Israel jauh lebih besar. Kuasa ekonomi keseluruhan kita sudah tentu berupaya menekan syarikat untuk berubah.
Siapa kawan?
Penswastaan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mempunyai dimensi internasional atas penyertaan pihak asing. Ada yang berkata kita jangan banyak bermusuh. Kawan- kawan Israel tidak semestinya musuh kita. Ini kelihatan seperti nasihat yang baik. Dikatakan bahawa setiap negara harus mengutamakan kepenting negara masing-masing dan menghormati hak satu sama lain.
Apa dasar luar negeri dari sebuah negara yang disebut demokrasi terbesar di dunia?
Hormati perbezaan, benarkah? Ambil Afrika Selatan sebagai contoh. Dakwaan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) membawa negara itu ke dalam konfrontasi langsung dan tidak langsung dengan teman-teman Israel. Afrika Selatan berisiko disingkir dari Undang-Undang Pertumbuhan dan Peluang Afrika (African Growth and Opportunity Act) oleh pemerintah AS.
Haruskah Afrika Selatan letakkan prioritas kepada kepentingan ekonominya dan melepas tangan di ICJ? Adalah jelas bahwa AS tidak menghormati hak negara mana pun untuk secara bebas berkawan dengan negara yang tidak disenangi AS.
Pengisytiharan berkecuali kita tidak mengecualikan kita dari intimidasi Amerika. Kerap kali syarikat-syarikat Malaysia diduga terlalu ramah dengan musuh AS. Dengan dalih keselamatan, juara perdagangan bebas ini tiada keraguan untuk mempersenjatai perdagangan menindas siapa saja yang mencabar hegemoninya.
AS mempunyai senarai musuh yang panjang, contohnya Cuba, Iran, Syria, Yaman, icaragua, Venezuela, China, Korea Utara, dan banyak lagi. AS mengenakan sanksi dan boikot ke atas negara-negara ini. Sesiapa yang kelihatan mesra dengan musuh-musuh AS tidak terlepas daripada sekatan.
AS sentiasa bertingkah laku sebagai kuasa besar global yang tunggal. AS tidak bersedia menerima atau bertolak ansur dengan tatanan dunia multipolar. Bukan sahaja negara- negara yang bermusuhan dengan Israel dianggap sebagai ancaman, tetapi negara-negara yang berkawan dengan musuh Israel juga sering menjadi sasaran serangan.
Sebenarnya ekonomi Malaysia tidak terjejas kerana pendirian berprinsip kita untuk menyokong Palestin. Sebaliknya, ekonomi kita terganggu disebabkan AS mengambil langkah yang semakin antagonistik terhadap China.
Kegelisahan geopolitik
Dalam konteks ini, kita amat khuatir dengan aset strategik negara.
Pada 15 Mei, kerajaan mengumumkan rancangan untuk menswastakan MAHB. Ia akan diambil alih oleh konsortium yang dikenali sebagai Gateway Development Alliance yang merangkumi Khazanah Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Abu Dhabi Investment Authority (ADIA), dan Global Infrastructure Partners (GIP).
Dengan aturan ini, 38 lapangan terbang (semua lapangan terbang di Malaysia kecuali Senai) serta lapangan terbang antarabangsa di Turkiye akan dikendalikan oleh GIP.
Sementara ini GIP dimiliki sepenuhnya oleh Blackrock Inc. Blackrock adalah pelabur terbesar di dunia dalam industri senjata. Firma itu juga merupakan penyokong kuat Zionisme. Ramai yang lain telah mengemukakan bukti yang kukuh mengenai penglibatan Blackrock dengan pembunuhan beramai-ramai di Gaza. Saya tidak perlu mengulas lanjut.
Ringkasnya, menolak Blackrock adalah keperluan moral. Kerajaan mesti menunjukkan konsistensi dasar dalam pendiriannya untuk Palestin.
Terdapat juga dimensi geopolitik untuk isu ini. Pertempuran ganas di Palestin dan Timur Tengah memberi amaran kepada kita tentang permusuhan yang semakin meningkat antara kuasa-kuasa besar. Negara-negara kecil sering terperangkap dalam pertembungan dan berisiko kehilangan kedaulatan mereka.
Malaysia terletak di zon yang berpotensi tercetus konflik. Ruang udara kita merentasi Laut China Selatan dan merangkumi banyak kepulauan yang dipertikaikan. Memandangkan AS juga merupakan faktor dalam konflik serantau, akses mereka ke ruang udara dan infrastruktur strategik kami mungkin menjadi dorongan tambahan kepada ketegangan yang semakin meningkat.
Adakah bijak untuk menyerahkan fasiliti sensitif canggih kita seperti lapangan terbang, radar, peralatan pengawasan, serta sistem kontrol udara kepada entiti asing? Lebih buruk lagi, sebuah syarikat yang terkenal dikaitkan dengan peperangan.
Untuk menjaga kedaulatan negara, infrastruktur strategik yang penting hanya boleh dikelola oleh operator yang secara mutlak dan eksklusif setia kepada kepentingan Malaysia.
Penswastaan yang bahaya
Jumlah aset MAHB bernilai tidak kurang daripada RM20 bilion. Penswastaan berskala besar tanpa perbincangan menyeluruh dan penelitian awam dengan sendirinya harus menyebabkan awam berwaspada.
Pada 9 Feb tahun lepas, MAHB telah diberikan lanjutan hak operasi baharu selama 45 tahun lagi. Ini bermakna MAHB akan memegang kawalan monopoli sehingga 11 Feb, 2069.
Perkara ini disahkan semula dengan pengumuman Menteri Pengangkutan Anthony Loke pada 18 Mac lalu.
Secara umum, monopoli bukanlah formula untuk meningkatkan daya saing atau meransang kecekapan. Justifikasi tempoh panjang diperlukan adalah untuk memudahkan pertumbuhan yang mampan dan menjamin pemulihan pelaburan yang besar.
Pengurusan MAHB mendakwa bahawa pajakan hak operasi yang panjang akan memberikan “fleksibiliti untuk melabur dan melabur semula dalam pemodenan dan pembangunan lapangan terbang yang berdaya maju di bawah terma komersial yang adil dan kondusif dengan mekanisme pulangan pelaburan yang jelas”.
Bukan luar biasa di Malaysia jika sebuah GLC diberikan persyaratan yang menguntungkan seperti itu. Walaupun ada keraguan terdapat bahaya genangan yang berpanjangan, saya rasa ia boleh diterima kalau syarat-syarat ini melindungi infrastruktur utama di tangan publik.
Setahun kemudian, sebuah syarikat dari New York, General Infrastructure Partners (GIP) dibawa masuk untuk mengendalikan semua 39 lapangan terbang. Sama ada kerajaan tiba- tiba hilang keyakinan terhadap kemampuan MAHB atau ia hanyalah satu komplot untuk memanipulasi peralihan tangan aset awam kepada firma asing.
Selewat 11 Mac, Loke dengan tegas menafikan hasrat untuk menjual MAHB kepada GIP.
Apabila rancangan itu akhirnya didedahkan pada Mei 2024, Loke menegaskan bahwa kementeriannya tidak terlibat dalam keputusan itu.
Jika menteri bercakap benar, ia sangat merisaukan. Perjanjian penswastaan akan menjejaskan berjuta-juta pengguna dan menutup nasib kesemua lapangan terbang kita selama hampir setengah abad. Sehingga hari ini, rakyat masih tidak mempunyai peluang untuk mendengar segala kebaikan dan keburukan.
Pada asasnya, bentuk baru MAHB akan menjadi monopoli yang diswastakan (selama 45 tahun!). Rakyat Malaysia telah mempunyai banyak pengajaran pahit daripada penswastaan, terutamanya yang bersifat monopoli. Corak ini bukan sahaja gagal mendatangkan manfaat seperti dijanjikan, tetapi pada akhirnya, pembayar cukai memikul kerugian.
Kisah yang sama berlaku pada tahun 2009 apabila Tradewinds memperoleh syarikat monopoli BERNAS, ia melibatkan sejumlah saham minoriti dipegang oleh Wong Tak Co yang berpangkalan di Hong Kong. Ahli-ahli parlimen oposisi bangkit lawan. Mereka berpendapat bahwa kehadiran kepentingan asing di BERNAS mengancam keselamatan negara. Sekarang mereka sudah berkuasa, orang yang sama mesra menyambut Blackrock untuk menguruskan infrastruktur penting kita.
Keengganan kerajaan untuk memperbincangkan penjualan MAHB telah mengkhianati semua prinsip ketelusan, akauntabiliti, dan tanggung jawab sosial. Masyarakat umum berada dalam kegelapan. Mereka hanya menerima maklumat dalam serpihan yang tidak masuk akal dari jawaban para menteri dan pegawai.
Sehingga kini, tiada siapa daripada kerajaan yang memberikan penjelasan yang menyeluruh mengenai sebab-sebab penswastaan MAHB. Rakyat tidak pernah diberitahu apa faedah sebenar akan dibawa GIP dalam empat dekad akan datang. Kita juga ingin tahu sama ada Khazanah telah melalui proses meneroka semua opsyen. Adakah GIP satu-satunya pilihan?
Demi ekonomi inklusif, mengapa kerajaan tidak mempertimbangkan penyertaan kerajaan-kerajaan negari (terutama Sabah atau Sarawak), atau mengizinkan pelabur swasta domestik?
Singkatnya, dengan semua pertanyaan ini tidak terjawab dan tidak adanya penjelasan yang memuaskan, kerajaan seharusnya tidak melanjutkan penswastaan MAHB.
Pelabur tidak bermoral
Penglibatan Blackrock adalah seperti menambah garam pada luka. Hubungan syarikat dengan bekalan senjata ke serangan genosida sangat ketara. Tiada justifikasi moral untuk membolehkan wang daripada pembayar cukai Malaysia dan pelanggan KWSP yang cintakan keamanan dicemari dengan darah jiwa yang tidak berdosa.
Gergasi kewangan itu mempunyai jejak-jejak yang luas dalam landskap ekonomi Israel. Ia berhubungan rapat dengan badan politik dan korporat di Israel. Dengan latar belakang ini, kebimbangan kami bukan sahaja etika semata-mata.
Tidak dapat dielakkan, menyerahkan aset berkaitan kedaulatan negara kepada operator asing sudah tentu akan menimbulkan implikasi keselamatan yang serius. Teruk lagi apabila ia dikuasai sebuah syarikat yang memiliki ideologi politik yang keras berlawanan dengan kita.
Sokongan Malaysia terhadap Palestin tidak boleh terus diperkotak-katikkan. Lebih kritikal daripada sebelumnya, rakyat Palestin sangat memerlukan usaha solidariti yang konsisten.
Cakap retorik dan perhubungan awam dangkal tidak boleh melahirkan apa-apa hasil yang efektif.
Sudah tiba masanya untuk mengubah kata-kata menjadi tindakan konkrit. Kerajaan di satu pihak memeluk perjuangan bersenjata Palestin dan pada masa yang sama mengalu-alukan ejen pembunuhan dengan tangan terbuka. Ini akan menjadikan Malaysia kelihatan hipokrit.
Memang benar Blackrock telah menembus pasaran Malaysia sejak kian lama. Ia telah melabur secara luas di banyak syarikat di Malaysia seperti CIMB, Genting, MISC, Sime Darby, dan lain-lain. Keunggulannya di pasar modal dan sistem kewangan Malaysia juga adalah perkara yang membimbangkan. Namun, ini tidak harus bererti mengisyaratkan lampu hijau untuk pengambilalihan MAHB. Penerimaan Blackrock di tengah keganasan di Gaza akan meninggalkan titik hitam pada kredibiliti Malaysia.
Untuk mejayakan perubahan, kerajaan mesti menegaskan tekanan yang lebih besar di medan ekonomi selain usaha diplomatik. Untuk menunjukkan komitmen Malaysia, kerajaan perlu menubuhkan jawatankuasa khas (dengan penglibatan NGO) untuk melaksanakan divestasi dan sanksi yang terancang. Kerajaan bersama-sama dengan sektor swasta perlu bekerjasama menyalurkan dana dan sumber kita kepada investasi yang lebih beretika.
Seperti pengalaman yang kita pelajari dari Afrika Selatan, sanksi dan boikot adalah alat menentang apartheid yang kuat dan berkesan. Keadaan di Gaza menunjukkan krisis kemanusiaan yang mengerikan. Hati nurani kita tidak seharusnya membenarkan industri ini yang mengaut keuntungan daripada pertumpahan darah untuk bercampur tangan dalam aset negara.
Hentikan Blackrock, selamatkan harta rakyat.
TIAN CHUA ialah bekas ahli parlimen Batu.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.