Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Di sebalik kes serangan pemandu e-hailing yang tak diendahkan

WAWANCARA | Insiden serangan yang didakwa membabitkan pengiring Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mencetuskan persoalan tentang cara polis mengendalikan kes itu dan kebimbangan terhadap penapisan media.

Apa yang pasti percanggahan berhubung insiden itu mungkin tidak akan terbongkar sekiranya NGO Pertubuhan Advokasi dan Kesejahteraan Orang Pekak Malaysia (Dawn) tidak memainkan peranan mereka.

Menerusi kenyataannya, Dawn mendakwa mangsa, Ong Ing Keong mendapat tekanan daripada pihak polis untuk menggugurkan kes berkenaan.

Dalam satu wawancara, pengasas bersama dan setiausaha agung Dawn, Anthony Chong berkata NGO itu ditubuhkan untuk membantu memperkasa dan mendidik masyarakat pekak dan bisu tentang cara melindungi diri mereka.

Dia berkata isu itu hanyalah cebisan daripada masalah yang dihadapi masyarakat pekak dan bisu di negara ini dengan kurangnya penterjemah bahasa isyarat.

Ini menyukarkan mereka untuk berkomunikasi apabila berurusan di sesuatu jabatan, sama ada di balai polis atau hospital sehingga menyebabkan timbul salah faham dan kekeliruan.

Proses laporan "mencurigkan"

Dalam wawancara dengan Malaysiakini, Chong menceritakan “ada sesuatu yang tidak kena” ketika pertama kali mendengar tentang pengalaman Ong di balai polis terbabit.

“Selepas saya memahami situasi itu, saya masih berasa agak tidak jelas... Saya memikirkannya dan merasakan ada sesuatu yang tidak kena,” katanya.

Chong berkata dia secara peribadi meminta Ong menjelaskan kejadian berkenaan.

Dia kemudian membuat kesimpulan bahawa tingkah laku polis semasa proses membuat laporan mungkin "tidak wajar" sebelum membuat keputusan mengeluarkan kenyataan untuk menjelaskan perkara itu kepada orang ramai.

Sehari selepas serangan itu iaitu pada 30 Mei lalu, Dawn dalam kenyataannya mendedahkan bahawa polis memberikan tekanan terhadap Ong dengan memaksa dia menyerahkan telefon untuk membantu siasatan.

Kenyataan itu juga buat pertama kali menyebut pihak polis telah menyediakan tiga dokumen laporan untuk ditandatangani Ong tanpa sebarang terjemahan atau penjelasan.

Chong berkata, individu pekak sering berasa takut apabila berurusan dengan pihak polis dan cenderung mengikut arahan serta menandatangani apa-apa dokumen.

"Orang pekak tidak tahu bagaimana untuk melindungi diri mereka, jadi mereka menjadi sangat takut dan berfikir bahawa selagi mereka tandatangan, ikut saja apa yang polis katakan, (maka) semuanya akan baik-baik saja," katanya.

"Saya berharap individu pekak dapat memperbaiki keadaan mereka dan melindungi diri mereka sendiri."

"Melalui bengkel atau ceramah... kita boleh mendidik mereka. Contohnya, apakah prosedur operasi standard polis; apakah yang perlu kita lakukan dahulu apabila kita mengalami kemalangan kereta dan memerlukan bantuan polis," kata Chong menerusi podcast Malaysiakini dalam bahasa Cina yang boleh ditonton di YouTube, Spotify dan Apple Podcast.

Chong menggunakan bahasa isyarat semasa wawancara itu bersama jurubahasa bahasa isyarat Jonah Ong, manakala wartawan Malaysiakini Low Choon Chyuan menjadi hos episod berkenaan.

[Baca wawancara penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS