Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Speaker tiada pilihan selain isytihar 6 kerusi parlimen kosong'
Diterbitkan:  Jun 19, 2024 3:49 PM
Dikemaskini: 7:57 AM

Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul tidak mempunyai pilihan selain mengisytiharkan kekosongan enam kerusi parlimen selepas Bersatu menggugurkan keahlian ahli parlimen berkenaan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata Johari perlu memastikan ada sedikit keseragaman dalam pelaksanaan peraturan-peraturan DUN dan Dewan Rakyat setelah melihat apa yang berlaku di Kelantan.

Katanya, berdasarkan peraturan undang-undang tubuh negeri dan Perlembagaan Persekutuan, kerusi yang disandang kosong apabila seseorang wakil rakyat digugurkan keahlian mereka daripada parti.

"Bagi saya, ini mewujudkan satu precedent (duluan) dalam negara yang mana apabila dikosongkan kerusi di Kelantan, maka di peringkat Dewan Rakyat tidak ada alasan yang boleh digunakan untuk mengatakan kerusi mereka tidak kosong.

"Saya yakin Tan Sri Johari mahu dikenali sebagai seorang yang berpegang dengan prinsip kebebasan badan legislatif berbanding badan eksekutif serta bebas pengaruh daripada parti-parti politik.

Johari Abdul, Speaker Dewan Rakyat

"Dengan prinsip itu, saya pasti Tan Sri Johari pun faham dan sedar bahawa beliau tidak ada pilihan untuk mengisytiharkan enam kerusi Ahli Parlimen di Dewan Rakyat itu, kosong juga,” katanya di laman Facebook.

Hormati duluan

Wan Saiful berkata sekiranya duluan ini tidak dihormati atau tidak dituruti dari segi uniformity, mungkin akan berlaku krisis Perlembagaan yang serius.

Dia merujuk kepada pengumuman Speaker DUN Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah hari ini, yang mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Nenggiri.

Mohd Amar Nik Abdullah, Speaker DUN Kelantan

Keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis di bawah fasal (3) Perkara 31A Undang-undang Tubuh Negeri daripada Mohd Azizi Abu Naim, yang menyandang kerusi itu pada 13 Jun.

Selain itu, Mohd Amar berkata Bersatu pada 12 Jun lalu turut memaklumkan keahlian Azizi telah ditarik balik dan seterusnya berlaku kekosongan luar jangka kerusi berkenaan.

Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, adalah antara tujuh ahli parlimen Bersatu yang digugurkan keahliannya kerana menyatakan sokongan kepada kerajaan Anwar Ibrahim.

Wakil rakyat lain ialah Ahli Parlimen Labuan, Suhaili Abdul Rahman, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Adun Klang Abdul Rashid Asari .

Bersatu sebelum ini meminda perlembagaan parti itu untuk menetapkan mana-mana wakil rakyat yang berpaling tadah akan secara automatik tergugur keahlian mereka.

Dengan berbuat demikian, mereka juga akan menyebabkan undang-undang anti-lompat parti berkuatkuasa mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan dan perlu mengosongkan kerusi mereka.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan pindaan perlembagaan Bersatu pada April lalu.

Langkah itu bertujuan mengosongkan kerusi wakil rakyat yang berpaling tadah bagi mengadakan pilihan raya kecil.

Namun beberapa pakar menyuarakan keraguan sama ada langkah itu akan berjaya dan berpendapat wakil rakyat yang digugurkan keahlian mereka masih boleh menjadi wakil rakyat bebas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS