Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin: Bersatu sedia hadapi PRK DUN Nenggiri
Diterbitkan:  Jun 19, 2024 3:11 PM
Dikemaskini: 7:17 AM

Bersatu bersama parti-parti sekutunya dalam Perikatan Nasional (PN) bersedia menghadapi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri susulan kekosongan luar jangka yang diumumkan, hari ini.

Sambil menzahirkan ucapan terima kasih kepada Speaker DUN Kelantan, Mohd Ammar Nik Abdullah yang mengumumkan kekosongan itu hari ini, presidennya, Muhyiddin Yassin melahirkan keyakinan kemenangan akan berpihak kepada PN.

“Bersatu bersama-sama parti-parti anggota PN bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil DUN Nenggiri yang akan diadakan pada tarikh yang akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

“Insya-Allah dengan izin Allah SWT dan dukungan rakyat, kita akan beroleh kemenangan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.

Terdahulu, Speaker DUN Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi Nenggiri kosong bermula hari ini.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas pihak DUN Kelantan menerima satu notis bertulis daripada Bersatu pada 13 Jun lalu.

“DUN Kelantan menerima notis bertulis di bawah fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan daripada seorang Adun mengenai Mohd Azizi Abu Naim telah hilang keahlian Bersatu seterusnya berlaku kekosongan luar jangka kerusi DUN Nenggiri.

Mohd Azizi Abu Naim , Adun Nenggiri

“Menurut fasal 3 (3) undang-undang sama, speaker hendak memastikan bahawa berlaku kekosongan luar jangka tersebut,” katanya,

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, kekosongan  berlaku susulan notis yang dihantar oleh Bersatu kepada Speaker DUN Kelantan berhubung terhentinya keahlian Mohd Azizi dari parti Bersatu yang secara serta merta kerana melanggar Fasal 10.4 Perlembagaan parti.

Katanya, kekosongan luar jangka itu menunjukkan pindaan Perlembagaan mengenai anti-lompat parti dan notis terhenti keahlian parti secara serta merta yang dikeluarkan kepada wakil-wakil rakyat yang berkenaan adalah teratur.

“Keputusan Speaker DUN Kelantan itu selaras dengan Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan yang memperuntukkan berlakunya kekosongan luar jangka bagi kerusi DUN yang wakil rakyatnya telah terhenti keahlian partinya secara serta-merta.

“Peruntukan ini adalah selaras dengan undang-undang anti-lompat parti di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS