Adun Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim akan membawa kesnya ke mahkamah susulan keputusan Speaker DUN Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah yang mengumumkan kekosongan kerusi yang disandangnya.
Katanya, dia tidak terkejut dan sudah menjangkakannya selepas mengetahui terdapat sidang media oleh Speaker DUN Kelantan hari ini.
"Saya tidak terkejut kerana saya sudah jangka pengumuman seperti hari ini akan berlaku. Bagaimanapun saya tidak mahu mengulas lanjut dan akan membawa kes ini ke mahkamah.
"Esok saya akan mengadakan perbincangan dengan peguam berhubung keputusan yang dibuat oleh Kelantan," katanya yang dipetik oleh Harian Metro.
Mohd Azizi juga mempertikaikan, keputusan yang dibuat oleh Mohd Amar, yang juga adalah bekas timbalan menteri besar yang hanya berdasarkan notis pemecatannya sebagai ahli Bersatu.
"Kita mempersoal beberapa perkara berhubung notis berkenaan iaitu surat yang dihantar oleh Bersatu sebelum ini hanya memaklumkan hilang keahlian.
"Notis terbabit juga tidak menyentuh soal kedudukan sebagai Ahli Parlimen dan Adun," katanya lagi.
Terdahulu, Kelantan mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong berkuat kuasa hari ini.
Katanya, ini selaras dengan Undang-Undang Tubuh negeri Kelantan.
"Maka dengan ini saya mengisytihar menurut Fasal 1 Perkara 31A bahawa berlaku kekosongan luar jangka kerusi DUN Nenggiri diwakili Mohd Azizi.
"Menurut Fasal 4(4) Perkara 31A, kekosongan kerusi perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh SPR menerima notis kekosongan," katanya.