Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Speaker DUN Kelantan umum kerusi DUN Nenggiri kosong
Diterbitkan:  Jun 19, 2024 11:51 AM
Dikemaskini: 6:38 AM

Speaker DUN Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri kosong bermula hari ini.

Katanya, ini selaras dengan Undang-Undang Tubuh negeri Kelantan.

"Maka dengan ini saya mengisytihar menurut Fasal 1 Perkara 31A bahawa berlaku kekosongan luar jangka kerusi DUN Nenggiri diwakili Mohd Azizi (Abu Naim).

"Menurut Fasal 4(4) Perkara 31A, kekosongan kerusi perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh SPR menerima notis kekosongan," katanya.

Mohd Ammar yang juga adalah bekas timbalan menteri besar berkata, keputusan itu susulan DUN Kelantan menerima notis bertulis.

Notis berkenaan, katanya adalah daripada Bersatu pada 12 Jun dan Mohd Azizi pada 13 Jun yang memaklumkan hilang keahlian Bersatu dan seterusnya berlaku kekosongan luar jangka kerusi berkenaan.

Mohd Azizi Abu Naim

Mohd Ammar berkata bidang kuasanya sebagai speaker hanya mengisytiharkan kekosongan, dan SPR akan menentukan tarikh pilihan raya kecil nanti, dan kerusi DUN itu perlu diisi.

Mohd Azizi, yang juga ahli Parlimen Gua Musang sebelum ini mengikrar sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, bersama lima ahli Parlimen dan seorang lagi Adun Bersatu.

Mereka ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Seorang lagi ialah Adun Selat Klang Abdul Rashid Asari.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS