Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sebulan nyah klasifikasi dokumen, bicara IPIC Najib-Irwan ditangguhkan

Pihak pendakwaan memerlukan satu bulan untuk menyahklasifikasikan sejumlah besar dokumen yang mesti diserahkan kepada pasukan pembelaan Najib  Razak dan Mohd Irwan Serigar Abdullah dalam perbicaraan pecah amanah (CBT) membabitkan RM6.6 bilion.

Susulan itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengosongkan hari pertama perbicaraan yang dijadualkan dalam kes yang dikaitkan dengan dakwaan pembayaran kepada Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa (IPIC) hari ini. Pebicaraan dijadualkan semula ke 22 Julai.

Semasa prosiding mahkamah di hadapan hakim Muhammad Jamil Hussin, timbalan pendakwa raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi berkata, mereka memerlukan kira-kira sebulan untuk menyahklasifikasikan dokumen yang dikaitkan dengan Akta Rahsia Rasmi 1972.

Katanya, pihak pendakwaan telah dimaklumkan oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah dan K Kumaraendran bahawa pihak pembelaan belum diberikan  set lengkap dokumen perbicaraan yang kritikal.

Shafee dan Kumaraendran masing-masing mewakili bekas perdana menteri Najib dan bekas ketua setiausaha perbendaharaan Irwan.

Ketika membenarkan penangguhan itu, Hakim Jamil mengingatkan pihak pendakwaan dan pembelaan bahawa kes itu belum selesai sejak 2018 apabila Najib dan Irwan pertama kali memohon untuk dibicarakan atas enam pertuduhan CBT membabitkan RM6,636,065,000 dana kerajaan Malaysia.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan perbicaraan kes pecah amanah Datuk Seri Najib azak bersama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah membabitkan harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 billion yang dijadualkan bermula hari ini di Mahkamah Tinggi di sini ditangguhkan lagi ke 22 Julai ini.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan peguam Datuk Seri K. Kumaraendran yang mewakili Mohd Irwan untuk menangguhkan kes berikutan pihak pembelaan masih belum menerima 48 lagi dokumen berkaitan kes daripada pendakwaan.

"Sila pastikan semua dokumen berkaitan kes diserahkan kepada pembelaan sebelum perbicaraan bermula (22 Julai). Pada 4 Jun lepas, perbicaraan tidak dapat diteruskan dan hari ini ia tidak dapat diteruskan lagi. Saya tidak mahu dengar lagi alasan penangguhan disebabkan dokumen yang tidak diserahkan," kata hakim.

Terdahulu Kumaraendran memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan masih belum menyerahkan 48 dokumen itu kepada pembelaan dan tanpa dokumen berkenaan, ia akan memprejudiskan anak guamnya.

"Kebanyakan dokumen terbabit adalah dokumen rakaman percakapan anak guam saya yang akan digunakan sebagai pembelaan dalam kes ini. Dalam surat yang dikemukakan kepada pendakwaan semalam (18 Jun), kami minta agar dokumen-dokumen berkenaan diserahkan kepada pihak kami," katanya.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib pula berkata pembelaan bekas perdana menteri itu bergantung kepada keterangan atau kenyataan yang dibuat oleh Mohd Irwan.

"Tan Sri Mohd Irwan kita boleh anggap sebagai ‘CEO of the Ministry of Finance’ (Ketua Pegawai Eksekutif Kementerian Kewangan) dan beliau mempunyai banyak pengetahuan dalam kementerian itu. Dokumen yang akan diserahkan oleh pendakwaan adalah relevan kepada anak guam saya," kata peguam veteran itu.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi mengesahkan terdapat 48 lagi dokumen yang diklasifikasikan sebagai rahsia dan sulit masih belum diturun taraf dan belum diserahkan kepada pihak pembelaan.

"Dokumen-dokumen yang diminta oleh pembelaan antaranya dari Agensi Pengangkutan Awam Darat, Unit Perancang Ekonomi dan kertas Kabinet. Sebelum ditanda sebagai eksibit, dokumen-dokumen ini perlu diturun taraf kerana ia di bawah Akta Rahsia Rasmi.

"Pihak pendakwaan memerlukan masa sebulan untuk dokumen itu diturun taraf oleh pegawai di agensi berkaitan sebelum diserahkan kepada pembelaan," katanya yang turut memaklumkan pihak pembelaan ada menghantar surat menerusi e-mel semalam bagi penangguhan kes.

Sementara itu Hakim Muhammad Jamil turut melapangkan perbicaraan esok dan 24 sehingga 27 Jun, serta bulan Julai iaitu pada 2 hingga 4, 9 hingga 11, dan 15 hingga 18.

Pada 24 Okt 2018, Najib, 70, dan Mohd Irwan, 67, mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion, berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC). 

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya antara 21 Dis 2016 dan 18 Dis 2017 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS