Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Thailand jadi negara Asean pertama halalkan perkahwinan LGBTQ+
Diterbitkan:  Jun 18, 2024 8:36 PM
Dikemaskini: Jun 19, 2024 12:12 AM

Thailand akan menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang membenarkan perkahwinan gay, berikutan dewan perwakilannya meluluskan rang undang-undang kesaksamaan perkahwinan dalam bacaan terakhirnya hari ini.

Senat Thai menyaksikan 130 senator mengundi menyokong rang undang-undang itu dengan empat lagi mengundi menentangnya dan 18 berkecuali.

“Undang-undang kesaksamaan perkahwinan baru Thailand ialah kejayaan untuk keadilan dan hak asasi manusia,” kata ahli hak asasi manusia Fortify Rights, Mookdapa Yangyuenpradorn.

"Perjalanan ke tahap ini adalah panjang dan penuh dengan cabaran, tetapi undian hari ini untuk memastikan kesaksamaan perkahwinan menandakan detik bersejarah yang patut diraikan."

Peringkat seterusnya ialah Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin (gambar atas) akan meminta perkenan diraja dan selepas itu ia akan diwartakan. RUU itu kemudiannya akan diluluskan menjadi undang-undang selepas 120 hari.

Versi akhir RUU itu menggantikan perkataan jantina dalam Kanun Sivil dan Komersial seperti "suami" dan "isteri" serta "lelaki" dan "wanita" dengan perkataan neutral jantina seperti "pasangan" dan "orang".

Ini memberi pasangan LGBTQ+ hak untuk berkahwin, kebajikan, pengambilan anak, kebenaran penjagaan kesihatan, pengurusan bersama harta, warisan dan akses kepada faedah pasangan seperti potongan cukai dan pencen kerajaan.

Ia juga menangani perkahwinan kanak-kanak dengan menaikkan umur minimum persetujuan untuk berkahwin kepada 18 tahun.

“Kerajaan Thailand kini mesti memberi tumpuan untuk memastikan pelaksanaan undang-undang ini dengan pantas dan berkesan untuk melindungi hak LGBTQ+.

“Kesaksamaan perkahwinan adalah asas kepada maruah manusia, dan adalah penting bagi Thailand melindungi hak-hak ini tanpa berlengah-lengah atau diskriminasi,” kata Mookdapa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS