Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersih gesa k'jaan bebaskan tahanan protes air Sabah
Diterbitkan:  Jun 18, 2024 8:22 PM
Dikemaskini: 12:22 PM

Gabungan NGO untuk pilihan raya bersih dan adil (Bersih) menuntut pihak berkuasa membebaskan sembilan individu tanpa dokumen yang ditahan ketika protes di luar pejabat ketua menteri Sabah.

Bersih berkata pihaknya diberitahu polis telah memanjangkan perintah reman untuk salah seorang tahanan, seorang guru bernama Shafeeq Rondin tanpa memaklumkan kepada peguamnya.

"Tindakan ini adalah tindakan yang secara jelas melanggar hak Cikgu Shafeeq di bawah Perlembagaan Persekutuan, Kanun Tatacara Jenayah bahawa orang yang disiasat mempunyai hak untuk diwakili oleh peguam dan diadili dengan adil dan saksama di bawah undang-undang.

"Bersih menyeru Kerajaan Perpaduan, khususnya Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, untuk menegakkan hak asasi Cikgu Shafeeq dan lapan pelajar Sekolah Alternatif dengan membebaskan mereka agar kegiatan pengajaran dan pembelajaran mereka dapat diteruskan.

"Kegagalan berbuat demikian hanya mengukuhkan persepsi bahawa intimidasi terhadap para aktivis berlaku seperti 'business as usual' di bawah Kerajaan Madani seperti pemerintahan kerajaan-kerajaan terdahulu,” kata gabungan NGO itu pada satu kenyataan hari ini.

Pada 14 Jun, Polis Kota Kinabalu telah menahan sembilan individu tanpa dokumen pengenalan diri yang menyertai protes di luar pejabat ketua menteri Sabah.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Kasim Muda dilaporkan berkata peserta dan penganjur perhimpunan disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Pengasas NGO Borneo Komrad yang berpangkalan di Sabah, Mukmin Nantang, memberitahu polis telah menahan seorang guru dan lapan pelajar Sekolah Alternatif yang menyediakan pendidikan untuk kanak-kanak tanpa kerakyatan.

Sementara itu, Bersih berkata tiada sebab polis menahan sembilan orang itu kerana mereka bukan penganjur utama perhimpunan tersebut

"Sekiranya pihak polis ingin menyiasat, seharusnya mereka mengikuti Akta Perhimpunan Aman 2012 yang meletakkan tanggungjawab pada penganjur utama untuk disiasat secara profesional dan bukan menggunakan instrumen undang-undang yang lain bagi tujuan intimidasi yang membentuk naratif yang negatif terhadap himpunan tersebut.

"(Ini) sekaligus menjadikan guru dan pelajar-pelajar Sekolah Alternatif sebagai mangsa keadaan," katanya.

"Kesembilan orang mereka telah ditahan agak jauh dari tapak perhimpunan ketika mereka sedang beredar dari tapak perhimpunan tersebut dan pihak polis telah menggunakan Akta Imigresen bagi menahan guru dan pelajar-pelajar tersebut," jelas Bersih lagi.

Bersih turut menyatakan solidariti terhadap mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang telah mengadakan himpunan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS