Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemandu e-hailing didakwa cabul kehormatan wanita
Diterbitkan:  Jun 18, 2024 4:44 PM
Dikemaskini: 8:44 AM

Seorang lelaki yang videonya tular kerana menyentuh punggung seorang wanita di sebuah kedai runcit peralatan pembaikan rumah di Selayang minggu lepas, didakwa di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini.

Irwan Iesa, 38, yang bekerja sebagai pemandu e-hailing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Aina Azahra Ariffin.

Tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah bagi mencabul kehormatan wanita berusia 38 tahun itu di dalam kedai berkenaan di Selayang pada 2 petang, 4 Jun lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Izzat Amir Idham menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Gan Sing Gee dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon jaminan rendah atas alasan isteri tertuduh sarat mengandung.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS