Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lapor kes rasuah: 514 penjawat awam diberi ganjaran RM1 juta
Diterbitkan:  Jun 18, 2024 12:32 PM
Dikemaskini: 4:32 AM

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki mendedahkan seramai 514 penjawat awam sudah diberi ganjaran berjumlah lebih RM1 juta antara 2012 hingga 2023 kerana mendedah serta melaporkan kes rasuah yang membawa kepada sabitan.

Katanya, pemberi maklumat kepada kerajaan akan diberi ganjaran sama seperti tawaran suapan kerana mereka membantu dalam membanteras kegiatan rasuah.

"Ia ringgit untuk ringgit, jika anda ditawarkan RM100, kerajaan akan beri anda RM100. 

“Jika anda ditawarkan RM1 juta, kerajaan akan kembalikan RM1 juta kepada anda," katanya yang dipetik oleh portal Berita Harian semasa menjadi tetamu program audio siar Beyond the Headlines kendalian New Straits Times (NST).

Azam berkata, menerusi strategi Pencegahan Rasuah Kebangsaan 2024-2028 yang diumumkan Mei lalu, skim sama boleh diperluaskan kepada masyarakat umum, namun ia masih dalam peringkat cadangan.

"Perkara itu masih dalam cadangan, prosedur khusus dan optimum bersama agensi peneraju masih belum diputuskan. Itu di bawah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).

"Pertama sekali, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 perlu diperbaharui dan kami bersetuju, BHEUU kini sedang dalam proses meminda undang-undang," katanya.

Menurutnya, SPRM satu-satunya agensi penguat kuasa yang menggunakan sepenuhnya undang-undang itu dan sejak tujuh tahun lalu, sudah mempromosikannya kepada orang ramai bahawa mereka harus menjadi pemberi maklumat.

"Ada tiga kategori yang tampil ke SPRM, iaitu pengadu, pemberi maklumat dan informan. Pengadu sebagai contoh, perlu ke mahkamah, namun saya boleh katakan kurang daripada lima peratus mereka yang tampil ingin membuat aduan bersedia untuk beri keterangan di mahkamah.

"Bagi pemberi maklumat dan informan, identiti mereka dilindungi dengan baik. Sekarang, BHEUU ingin memberi ganjaran kepada mereka dan saya fikir ia idea yang baik, boleh menggalakkan lebih ramai tampil membuat aduan, terutama kepada SPRM," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS