Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Israel jadikan Gaza neraka dunia - PBB
Diterbitkan:  Jun 17, 2024 9:21 PM
Dikemaskini: Jun 18, 2024 12:09 AM

Ketua Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Martin Griffiths, berkata bahawa pengeboman Israel di Gaza sejak 7 Oktober 2023 telah menjadikan sektor yang dikepung itu sebagai neraka di dunia.

Griffiths berkata dalam satu kenyataan pada Isnin bahawa penyaluran bantuan kemanusiaan kepada penduduk Semenanjung Gaza yang berada di ambang kebuluran adalah hampir mustahil, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (Wafa).

Beliau menyatakan infrastruktur di Semenanjung Gaza telah mengalami kerosakan yang teruk dan terdapat pempolitikan bantuan di tengah-tengah penularan kelaparan dan penyakit dalam kalangan orang awam.

Beliau juga menegaskan bahawa petugas kemanusiaan dan PBB di Gaza telah terbunuh dalam jumlah yang tidak munasabah.

Ketua Hal Ehwal Kemanusiaan PBB itu berkata senjata terus memasuki Israel dari Amerika Syarikat dan negara-negara lain walaupun terdapat kesan dahsyat serangan terhadap orang awam di Gaza.

- Bernama-Wafa


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS